Kenalkah kita Rasulullah saw?

"Tiada beriman seseorang daripada kamu sehingga aku (Nabi Muhammad saw) dikasihi olehmu melebihi kasihmu kepada ayahmu dan anakmu serta seluruh manusia".

Hadis di atas ini mengingatkan kita betapa pentingnya kita mengasihi nabi kita Muhammad SAW. Persoalannya mampukah kita menunjukkan kasih kita kepada seorang Insan yang tidak pernah kita lihat?

Anak-anak saya selalu bertanya bolehkah kita melihat Nabi Muhammad SAW? Sekiranya kita tidak melihat baginda bagaimana kita nak tahu baginda? Budak-budak biasalah macam tu, kitapun sama...apakah kita mampu mengasihi baginda melebihi ayah kita, anak-anak kita dan seluruh manusia?

Mungkin berat untuk penuhi apa yang dijelaskan dalam hadis di atas, kerana sikap kebanyakkan orang hari ini yang terlalu mencurigai orang lain. Malah kita sentiasa diingatkan untuk berhati-hati dengan setiap orang yang kita temui, hari demi hari perkataan sebegitulah yang masuk ke fikiran kita hatta sahabat sendiri. Entah ajaran bentuk apakah ini?

Apatah lagi ingin mengasihi Insan yang tidak pernah kita temui, macam mana muka baginda serta pelbagai andaian kita. Orang kata baginda hensem, tak ada insan lain sehebat baginda. Jadi otak kitapun mulalah memutarkan wajah-wajah orang hensem yang selalu kita lihat, macam sapa ye? Terpulang kepada anda...

Inilah realiti manusia hari ini, selagi tidak melihat betul-betul mereka tidak akan percaya. Jadi kenalah letak gambar agar orang kenal. Satu lagi persoalan timbul, kat mana nak ambil gambar Rasulullah saw? Memang tak ada, tapi jangan pulak kita putus asa.

Jadi sebagai jawapan kepada persoalan anak-anak terpaksalah kita berfikir, mencari hujah yang paling sesuai agar mampu menggembirakan mereka. Dalam masa yang sama memberi harapan kepada mereka bahawa kita masih mampu melihat wajah baginda walaupun kekasih kita itu sudah pergi meninggalkan kita.

Anak yang sulung menceritakan kawannya bercerita bahawa ibunya (orang Mesir) pernah mimpi berjumpa Rasulullah saw. Kalau dalam mimpi tu sama juga ke? soal anak saya. Memang anak-anak tidak akan puas bersoal-jawab hingga mereka faham. Alhamdulillah, moga sikap sebegini dibawa sampai besar.

Sayapun menjawab: "Memang tiada insan lain sehebat baginda, bila melihat saja hati kita akan mengenali baginda, walaupun baginda tidak memperkenalkan diri, kita tahu bahawa baginda adalah Rasulullah saw". Hati yang mengasihi akan mengenal kekasihnya. Namun wajah itu amat susah untuk kita gambarkan, segala kelembutan dan segala-galanya ada pada wajah Insan Agung itu.

Seorang kawan yang pernah bermimpi bertemu Rasulullah saw memberitahu "sekiranya saya mampu mengingat setiap aspek pada wajah baginda, pasti saya akan melukisnya untuk ditunjukkan pada orang lain". Itulah hadiah paling berharga buat kita yang hidup pada akhir zaman ini.

Ini kerana Rasulullah saw pernah bersabda:
"Siapa yang bermimpi melihat aku di waktu tidur, maka sebenarnya dia melihat aku, kerana syaitan tidak boleh merupakan dirinya serupaku. Mimpi orang beriman itu satu bahagian dari empat puluh enam bahagian nubuwwah (wahyu)"- Hadis riwayat Bukhari.

Kesimpulannya kita masih mampu melihat baginda walaupun baginda telah pergi meninggalkan umat baginda lebih 1400 tahun lalu.

Ada orang yang mengamalkan amalan tertentu untuk bermimpi bertemu Rasulullah saw. Dulu-dulu sayapun berfikir sebegitu, mesti tidur berwuduk, ikut sunnah serta pelbagai lagi syaratnya. Sebenarnya bila Allah telah menetapkan, walau macammanapun kedudukan masa tidur kita, kita akan bermimpi bertemu baginda.

Malangnya ada segolongan manusia menganggap bahawa mereka boleh membantu kita untuk bermimpi bertemu Rasulullah saw, dengan disediakan teknik-teknik tertentu. Malah kita disuruh mengamalkan begitu banyak amalan yang tak ada puncanya dari Rasulullah saw. Apakah betul cara sebegitu? Inilah golongan yang mengada-adakan amalan yang tak pernah wujud semasa hayat Rasulullah saw dan selepas baginda. Apakah ini lambang kasih sayang mereka kepada baginda?

Berbalik kepada mengenal Rasulullah saw, apakah kita mengenal baginda? Bila dah kenal mestilah wujud kasih sayang. Jadi bagaimanakah cara untuk kita menunjukkan kasih sayang kita kepada baginda?

Orang yang ingin mengenal baginda mestilah mengetahui sirah hidup, membaca dan menghayati setiap peristiwa yang berlaku. Kemudian mempelajari juga ajaran yang dibawa baginda kerana dari situ kita akan terasa kasih kepada baginda. Bagi saya seronok membaca sirah ini tapi saya tidak mampu membaca kisah kewafatan baginda, setiap kali membaca bab terakhir perasaan saya selalu sebak, mengapa begitu?

Sekiranya anda belum menghayati sirah hidup baginda, mana mungkin anda jatuh cinta pada baginda. Maka usahakanlah untuk mengenal baginda sebelum anda mengenal orang lain...fikir-fikirkanlah.





Ulasan

aliza berkata…
Pagi tadi semasa menonton siaran Al-Resalah TV, Dr.Thuwaini ada menyebutkan tentang sikap berhati-hati dengan orang luar ni. Maklumlah dengan siapalah kita bertemu, terutama pengguna internet, "jadi di sini(internet) kenalah berhati-hati agar tidak tertipu. Namun begitu kita mestilah sentiasa mengamalkan sikap "husnul dhann" (bersangka baik) dengan orang lain. Bila terasa was-was tu pindahlah ke blog lain" kata beliau.

Jadi masalah tidak percayakan orang lain ni ada dimana-mana, kerana sikap manusia. Jika tak berhati-hati, tertipulah kita.
Rosnah berkata…
za, loni nah jadi pgunjung blog setia liza. best baca peulisan saing.. rindu terubat lah..

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016