Bulan Baru Niat Baru

Masa terus berjalan, hari juga silih berganti...dah masuk bulan 3, terasalah begitu cepat masa berlalu. Kesibukan dengan rutin harian kadang-kadang menyebabkan kita kurang mengira perjalanan hari. Tup tup masuk bulan 3, kemudian bulan 4 dan seterusnya. Jadi sekarang kita akan memasuki hari-hari terakhir fasa pertama dalam tahun ini. Apakah dah tertunai perancangan kali ini? 

Mengikut kalendar hijrah kita dahpun masuk bulan Rabiul Awwal, bulan kelahiran Rasulullah saw. Ramailah umat Islam yang akan menyambut Maulidur Rasul walaupun ia dihukumkan sebagai bidah oleh para ulama. Kalau dulu-dulu bulan ini adalah bulan paling seronok di kampung, maklumlah setiap rumah berlumba-lumba untuk mengadakan sambutan Maulidurrasul. 

Kanak-kanaklah yang paling gembira, kerana dapat berkumpul dan melakukan persiapan awal untuk ini. Bagi kanak-kanak inilah kenangan indah, mendengar bacaan berzanji, berselawat ramai-ramai, sekurang-kurangnya mengingatkan diri tentang sirah Rasul yang tercinta. 

Tapi apabila ulama selalu mengingatkan bahawa sambutan ini adalah bid'ah, iaitu mengada-adakan apa yang tidak dibuat oleh Rasulullah saw, maka amalan ini makin dilupai. Tidak adalah sambutan sebegini dalam memori anak-anak sekarang. Malah ia diganti dengan sambutan Hari Lahir yang sememangnya tidak ada asas dalam Islam. Kemudian ada pula pelbagai sambutan lain yang menggantikan sambutan hari kebesaran Islam, seperti hari Valentine, hari Ibu, hari bapa, hari guru dan lain-lain lagi. 

Maka bila agaknya anak-anak kita dapat mengingati hari-hari kebesaran Islam? Tahukah mereka kewujudan hari-hari sebegini dalam sejarah Islam? Susah nak diungkapkan tapi itulah yang berlaku dalam Islam. Semakin hari kita makin melupai tarikh-tarikh penting yang mampu mengingatkan kita bahawa kita orang Islam. Tapi kita disogokkan dengan tarikh-tarikh yang dicipta oleh orang-orang bukan Islam, dan kita sama-sama menghidupkannya tanpa memahami hakikatnya. 

Nak buat macammana, di sana-sini ramai yang mengecam sambutan Maulidurrasul seolah-olah berdosa besar siapa yang menghidupkannya. Apakah mereka lupa bahawa sambutan inilah yang menghidupkan roh Islam, mengingatkan kita tentang kelahiran Nabi Muhammad saw. Paling tidak kita mengenang kembali kisah kelahiran junjungan kita ini. Bagaimana kisah kelahiran baginda, yang ditetapkan berlaku sama peristiwa-peristiwa bersejarah lain, seperti padamnya api suci di negara Rom dan berlakunya serangan tentera bergajah ke atas Makkah. 

Inilah peluangnya untuk mengisi kekosongan jiwa anak-anak kita, yang ternyata disibukkan dengan pelbagai program TV, dan jadual lain yang sememangnya tidak mempunyai roh sebegini. Tanpa program sebegini, anak-anak tidak merasa pentingnya mengetahui tentang kisah-kisah ini,  kecuali sebagai satu matapelajaran di sekolah. Jadi mana yang lebih baik menghidupkannya balik atau melupakan terus sambutan sebegini? 

Kadang-kadang terfikir juga takkanlah umat Islam seluruh dunia dulu sengaja menghidupkan tarikh sebegini. Bagaimana mereka mampu menyampaikan idea sebegini kepada umat Islam di kawasan lain, sehingga menjadikan ia satu amalan yang diterimapakai dimana-mana. Mungkinkah ia ilham yang dicampakkan Allah ke dalam hati ulama dahulu sebagai cara untuk mengingatkan diri umat Islam bahawa mereka mengasihi Rasulullah saw? Wallahua'lam.

Tapi ini bukanlah fokus tulisan ini, kerana niat utama adalah mengingatkan diri sendiri bahawa masa dah berlalu. Teguhkan niat untuk memperbaiki diri dan keluarga dalam meniti kehidupan di alaf ini. Biarlah niat baru ini selari dengan tuntutan Islam.

Jangan nanti terasa tak cukup masa sedangkan Allah swt telah mengingatkan agar jangan mencemuh masa  sebagaimana yang diceritakan dalam hadis Qudsi: "dan manusia mencemuh masa sedangkan akulah MASA, ditanganku malam dan siang"

Ingatlah masa itu ditangan kita, sekiranya kita tahu mentadbirnya dengan baik banyaklah hasil yang mampu kita perolehi, sekiranya kita ambil mudah, maka masa akan berlalu begitu sahaja. Masa yang pergi tak akan kembali lagi, fikir-fikirkanlah... 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?