Dilema Anak Perempuan

Bersyukurlah kerana kita dilahirkan didunia ini, diberi kesempatan untuk menempuh perjalanan hidup dan ujian di sini. Bersyukurlah juga kerana dilahirkan sebagai perempuan serta berpeluang merasai pengalaman menjadi anak perempuan, isteri dan ibu.

Walaupun mungkin perjalanan hidup kita tidak semanis mana, sekurang-kurangnya kita masih mampu menghirup udara nyaman dunia ini.

Ada yang tidak dapat menerima hakikat dijadikan sebagai perempuan, maka mereka memilih hidup yang tidak sempurna dengan menjadi 'tomboy". Ada pula yang tidak dihargai oleh keluarga sendiri kerana dilahirkan perempuan, terutama keluarga yang lebih mementingkan anak lelaki untuk meneruskan keturunan mereka.

Yang lain pula hidup tapi terpaksa menghambakan diri untuk melepaskan bebanan kewangan keluarga. Pendek kata ada seribu satu macam kisah hidup wanita bermula dari kisah anak perempuan, kisah isteri dan kisah ibu. Walau apapun ia tetap kisah wanita yang patut kita ambil iktibar sepanjang masa.

Bila mendengar kisah sedih wanita lain kita turut merasa sedih, bila mendengar kisah kejayaan wanita kita juga turut berbangga dengan kejayaan mereka.

Dalam Islam, wanita dihormati dan diletakkan di tempat yang tinggi, terutama bagi ibu-ibu. Dalam satu hadis:
Seorang lelaki bertanya tentang siapakah yang sepatutnya dipergauli dengan baik, Rasulullah saw memberitahu Ibumu tiga kali, kemudian barulah menyebutkan bapa.

Di sini amat jelas bahawa kedudukan seorang ibu itu lebih tinggi dari bapa dalam sesebuah keluarga. Sekiranya baik ibu ini maka baiklah seluruh keluarga mereka.

Dalam hadis lain Rasulullah saw menuruh sahabat meninggalkan medan perang semata-mata untuk menemani isterinya yang akan menunaikan fardhu haji di Makkah. Inilah hakikat wanita, bila bermusafir mesti ditemani, bila berada dirumah dibantu.

Mungkin kita berfikir bahawa begitu lemah sekali ke wanita? Tidak bolehkah wanita menjadi sekuat lelaki? Boleh sekiranya dia memilih begitu, tapi anjuran ini menunjukkan bahawa Islam amat mengambilberat tentang wanita.

Rasulullah saw juga amat mengambilberat tentang wanita, hinggakan baginda berpesan dalam khutbah Haji terakhir dengan kata-kata "aku berwasiat berbuat baiklah dengan wanita". Mengapa Rasulullah mengingatkan tentang wanita? Apakah Rasulullah telah mengetahui bahawa wanita akan menempuh satu fasa yang amat berbeza dari ajaran yang dibawa oleh baginda? Ataupun ia sebagai peringatan bahawa setiap lelaki mesti berbuat baik dengan wanita?

Begitulah Islam meninggikan kedudukan wanita, menyediakan segala macam kebaikan untuk ketenangan kita. Jadi seharusnya kita bersyukur, kerana ketetapan inilah wanita mampu berada seperti permaisuri di rumah mereka.

Dalam masyarakat melayu pula keadaan ini amat berbeza, wanita terpaksa memikul pelbagai tanggungjawab. Sebagai anak perempuan pula, wanita juga terpaksa melebihkan keluarga sendiri, kerana dah jadi adat begitu.

Sekiranya anak perempuan ingin melebihkan keluarga suami maka pelbagai kata-kata negatif terpaksa dihadapi. Malah sekiranya anak perempuan ingin berada dirumah sebagai surirumahtangga, mereka akan berada dalam dilema, kerana sekiranya wanita tidak bekerja, bagaimana dia boleh membantu mak ayah. Sekiranya nak harapkan pendapatan suami, mungkin tidak sebanyak sumbangan sendiri ketika bekerja.

Bila dilahirkan sebagai anak perempuan, kemudian berumahtangga maka kita terikat dengan tugas dan tanggungjawab kita sebagai isteri. Bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab ini, kerana ia memerlukan kekuatan dalaman dan persefahaman. Seterusnya bila kita memilih untuk berada dirumah, maka pelbagai cabaran yang terpaksa kita hadapi.

Ramai yang mengira bahawa bila kita berada dirumah maka kita tidak mengenang jasa ayah dan bonda kita. Ini kerana kita tidak memiliki pendapatan tetap untuk menyumbang kepada mereka. Itulah yang selalu berlaku dimana-mana, malah ia juga menjadi punca tekanan kepada wanita yang ingin berada dirumah.

Bukan senang untuk menghadapinya, kerana ramai yang beranggapan bahawa untuk membalas jasa ayah dan bonda maka kita mestilah memberikan sejumlah wang bulanan untuk mereka. Itulah yang ditakrifkan sebagai membalas jasa ayah dan bonda. Malah dikampung-kampung mereka saling banding-membanding jumlah pemberian anak-anak setiap bulan.

Hanya Allah yang mengetahui isihati anak-anak perempuan yang mendirikan rumahtangga, persimpangan antara keluarga dan suami. Yang mana satu ingin didahulukan? Bak kata pepatah "Dibuang mati mak ditelan mati bapak".

Apakah anak-anak perempuan yang tidak menyumbang kepada ayah dan bonda dianggap tidak mengenang jasa? Apakah pilihan mereka untuk berkhidmat untuk suami dan anak-anak itu satu kesilapan? Apakah doa-doa yang sentiasa dipohon kepada Allah untuk kesejahteraan ayah bonda tidak bermakna?

Itulah hakikatnya yang terjadi kepada wanita dimana-mana menyebabkan mereka rela berkorban segala-galanya demi memenuhi kehendak semua pihak. Sampai bilakah keadaan ini akan berlarutan? Mengapakah wanita terpaksa menanggung beban ketidakadilan dan ketidakfahaman masyarakat kita?

Dalam Islam, lelaki diberi tanggungjawab yang berbeza daripada perempuan dari segi qawammah dan pembahagian harta pusaka. Ini kerana adalah menjadi tanggungjawab lelaki untuk memberi nafkah kepada keluarga. Sebab itulah Islam menetapkan anak lelaki mendapat bahagian pusaka yang lebih dari anak perempuan, kerana itu tanggungjawab mereka. Cantiknya ajaran Islam...

Malah dalam Islam wanita sentiasa terpelihara, sebelum kahwin ayah yang memberi nafkah dan melindungi, selepas kahwin suami mengambilalih, sekiranya berlaku perpisahan atau kematian suami, wanita kembali menerima nafkah daripada ayah atau saudara lelaki, dan seterusnya.

Namun begitu ramai wanita yang ikhlas membantu keluarga mereka, moga segala amal perbuatan mereka mendapat ganjaran sewajarnya daripada Allah swt.

Ulasan

Aliza Yunus berkata…
Rupa-rupanya pepatah tersebut "diluah mati mak, ditelan mati bapak", betul ke? Ada sesiapa boleh confirmkan?
Tanpa Nama berkata…
dilema anak perempuan.. kami adik beradik sedang berada dlm dilema kerana ibu kami selalu kecil hati dan cop kami semua anak derhaka kerana melebihkan suami dan keluarganya walaupun kami dah berusaha berbuat baik kepada ibu. Siapakah pilihan saya jika ibu nak makan ikan kurau tapi suami cuma mampu beli anak ikan kembung aje utk jamu makan tghari sewaktu ibu bertamu di rumah kami.Minta pendapat kakak.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman