Mampukah Kita Menjadi seperti Ummul Mukminin Khadijah?

Setiap orang yang membaca tentang sirah hidup Rasulullah pasti membaca tentang kehidupan baginda bersama-sama Saidatina Khadijah r.a, isteri baginda yang pertama. Wanita hartawan dan dermawan, yang memiliki hati yang begitu tulus dan ikhlas terhadap Rasulullah saw. Juga wanita pertama yang menerima dakwah Rasulullah saw.

Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah yang ada pada Khadijah hinggakan Rasulullah memilih beliau sebagai teman hidup yang pertama. Apakah tidak ada lagi gadis, sehingga baginda memilih seorang wanita yang pernah berkahwin dengan dua orang lelaki lain sebelum berkahwin dengan baginda.

Itulah ketentuan Allah swt. Ketentuan yang ternyata mampu menghapuskan segala tuduhan orang-orang bukan Islam terhadap baginda. Perkahwinan inilah juga yang menjadi panduan kepada kita bahawa perkahwinan bukan sekadar bertujuan untuk melepaskan nafsu semata-mata, bahkan lebih jauh daripada apa yang mampu kita fikirkan.

Perkahwinan mengajar kita menilai diri sendiri dan menilai kasih sayang kita sesama insan. Sekiranya hati kita dipenuhi kasih sayang, kita akan berusaha untuk memupuknya dengan pasangan kita, kemudian dengan anak-anak. Kemudian kita akan berusaha untuk meluaskan kasih sayang ini kepada masyarakat di sekeliling kita. Alangkah damainya sekiranya kita mampu hidup dalam keadaan begini. Persoalannya mampukah kita?

Kadang-kadang kita terfikir bahawa kita bertemu dengan orang yang tidak sesuai dengan kita, terutama apabila perkahwinan kita penuh dengan cubaan. Ada pula yang begitu seronok melayari kehidupan yang begitu bahagia dengan pasangan masing-masing, satu perkahwinan yang penuh dengan cinta dan kasih sayang. Itu juga ketentuan Allah swt, DIA lebih mengetahui sesuatu diluar ilmu kita.

Itulah juga ujian kepada kita dalam melayari bahtera rumahtangga. Apakah kita mampu menerima segala ujian dengan positif? Apakah kita sanggup meneruskan kehidupan dalam duka dan sengsara? Ataupun kita terlalu seronok dengan kebahagiaan kita hingga melupakan orang lain. Semuanya adalah ujian, ada kemanisan dalam setiap ujian yang diberikan oleh Allah swt, dan ada kepahitan dalam kemanisan yang diberikan kepada kita.

Sekiranya hati dipenuhi cinta kepada Yang Maha Agung, apapun bentuk ujian kita akan mampu hadapi dengan penuh senyuman. Tiada daya dan upaya kita kecuali berserah kepada Allah yang Maha Tinggi serta Lagi Besar.

Apakah kelebihan Saidatina Khadijah r.a yang boleh kita contohi?
1. Akhlak yang terpuji.
Beliau memiliki akhlak yang baik dan terpuji. Dalam kehidupan sehari-hari beliau sentiasa menjaga kesucian dan martabat dirinya serta menjauhi adat-istiadat yang tidak senonoh wanita Arab jahiliah ketika itu sehingga diberi gelaran "At Thahirah" Ini bersesuaian dengan firman Allah "Wanita yang baik untuk laki-laki yang baik".

2. Pemikiran yang tajam.
Khadijah juga memiliki pemikiran yang tajam dan bercita-cita tinggi. Sifat ini amat sesuai untuk seorang wanita yang akan menjadi contoh seluruh ummat Islam. Inilah sifat yang patut ada dalam diri setiap wanita, agar mampu melahirkan anak-anak yang akan menjadi pejuang agama Islam.
Lihatlah cara beliau menyelesaikan masalah Rasulullah dengan merujuk kepada Waraqah bin Naufal, orang yang lebih tahu daripada beliau. Itulah panduan kita dalam hidup ini, bertanyalah kepada orang yang lebih tahu apabila menghadapi apa-apa masalah.

3. Bekerja Sendiri.
Khadijah memiliki sumber pendapatan sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada Rasulullah. Inilah sumber kekuatan beliau.
Beliau mengurus sendiri perniagaannya, walaupun tidak keluar berdagang sendiri. Itulah teknik perniagaan yang terbaik untuk dilakukan oleh wanita. Mencari orang-orang yang boleh dipercayai untuk diupah membawa dagangannya, sehingga perniagaannya berkembang maju

4. Memiliki Prinsip yang jelas.
Beliau tahu apa yang diinginkan, oleh sebab itu beliau menolak pinangan orang yang tidak sesuai dengan prinsipnya.
Namun begitu semua penolakan itu dilakukan dengan cara yang bijaksana dan sangat halus, sehingga lelaki yang ditolak pinangannya itu tidak merasa tersinggung atau merasa dihina.

5. Pemurah dan dermawan.
Beliau terkenal dengan sifat pemurah, sentiasa bersedia membantu orang-orang yang lemah dan tidak berupaya. Tambahan lagi beliau memiliki pendapatan sendiri, jadi beliau mampu melakukannya dengan mudah.

6. Memiliki Sifat keibuan dan penyayang.
Inilah sifat-sifat yang amat diperlukan oleh seorang lelaki seperti Rasulullah. Baginda mampu menumpang kasih dari isteri baginda.
Sifat ini juga amat diperlukan oleh setiap lelaki, sekiranya isteri mampu melayan mereka dengan baik dan penuh kasih sayang, mereka tidak akan berpaling mencari yang lain.
Dalam satu nasihat "Jadikanlah suamimu itu ibarat anak sulungmu". Iaitu kita memberi sepenuh kasih sayang kepada suami ibarat kita melayan anak sendiri.


Apakah peranan Khadijah ketika nabi Muhammad menerima wahyu dan diangkat sebagai Rasulullah?

1. Khadijah kenal benar akan jiwa, peribadi serta akhlak suaminya sejak kecil hingga dewasa dan kemudian menjadi suaminya. Beliau juga amat memahami sikap suaminya yang tidak suka kepada adat istiadat kaumnya yang menyembah dan mendewakan patung dan berhala, berjudi, meminum arak serta membunuh anak perempuan hidup-hidup. Jadi beliau dapat menerima hakikat pencarian Rasulullah saw dan mendorong baginda.

2. Beliau memberi kesempatan dan keluasan yang sebenar-benarnya kepada Nabi Muhammad untuk memasuki kehidupan berfikir dan beruzlah. Beliau juga memberi dorongan semangat, agar terus mencari hakikat yang benar dan mutlak, dengan tidak dibebani persoalan rumahtangga dan perdagangannya, kerana kesemuanya diurus sendiri. Malah beliau menyediakan bekalan untuk suaminya bertafakur dan bertahannus di Gua Hira'.

3. Ketika Rasulullah dalam keraguan dan kebimbangan menghadapi kejadian-kejadian yang dilihatnya dalam tidur, iaitu mimpi yang benar. Khadijah menyakinkan baginda bahawa dengan akhlaknya yang mulia, tidakpernah berdusta atau menyakiti hati orang lain, mustahil baginda akan diganggu atau digoda oleh jin atau syaitan.

4. Ketika Rasulullah dalam kegelisahan dan kebingungan setelah menerima wahyu yang pertama, beliau menghiburkan hati dan meyakinkan hati suami beliau. Beliau meyakinkan baginda, bahawa baginda akan menjadi Nabi dan akan mengangkat darjat kaum baginda dari lembah kehinaan dan kesesatan ke darjat kemuliaan dan kebahagiaan abadi.

5. Beliau berjumpa dengan Waraqah bin naufal menceritakan perihal yang terjadi kepada suaminya, untuk meyakinkan lagi pendapatnya. Jadi Waraqah memberi penjelasan berpandukan pengetahuannya dalam kitab Injil bahawa Muhammad akan menjadi Nabi.

6. Ketika suaminya menerima wahyu berisi perintah menyuruh mulai bekerja dan berjuang menyebarkan agama Allah, dan mengajak kaumnya kepada agama tauhid, beliaulah wanita pertama menyatakan keimanannya tanpa ragu-ragu dan bimbang sedikitpun.

Peranan Saidatina Khadijah sebagai isteri dan wanita pilihan memang telah ditetapkan oleh Allah dalam qadarnya. Usaha yang dimainkan oleh beliau begitu besar dalam membantu usaha suaminya menyebarkan dakwah Islam.

Mampukah kita menjadi seperti Khadijah, menjadi teman setia suami serta memberikan sokongan dan dorongan kepada suami kita di kala susah dan senangnya. Moga kita juga mampu membantu suami walau tidak setanding beliau
.

Ulasan

Al-Manar berkata…
Munkinkah kaum perempuan mampu menconcotohi Khadijah dan lelaki pula Rasulullah? Kita dibawa arus yang laju dan bertentangan. Tetapi sekurang-kurangnya biarlah kita sedar tahap mana kita sedang berada.
aliza berkata…
Terima kasih pakcik,
Memang kita mampu mencontohi sifat-sifat dan keperibadian Saidatina Khadijah dan Rasulullah sekiranya kita berusaha ke arah itu.

Malangnya umat Islam hari ini terlalu laju dibawa arus kemodenan seperti yang pakcik katakan. Tidak ramai yang berusaha untuk memahami ajaran seperti yang terdapat dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.

Namun begitu kita mestilah yakin suatu hari,umat Islam akan kembali menghayati agama kita semula sebagaimana yang diceritakan oleh Rasulullah saw.

Jalan ke arah itu sudahpun bermula...berbagai usaha telah dijalankan oleh institusi dan individu untuk mengingatkan umat Islam melalui media massa dan usaha-usaha bersepadu dari pelbagai pihak. Umat Islam semakin sedar kesilapan masa lalu, dan cuba untuk bangkit kembali. Moga segala usaha murni ini diberkati Allah swt.

Kita akan berjaya mencapai keinginan itu,jika kita yakin dan segala usaha ini dilakukan secara berterusan. Insya Allah.

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?