Kisah Pembantu Rumah

Alhamdulillah semenjak berada di sini, saya berkesempatan bergaul dengan golongan pembantu rumah dan berkongsi cerita mereka. Maklumlah kita sama-sama berada dirumah, cuma bezanya mereka terpaksa bekerja keras sepanjang hari, sedangkan surirumah pula bos mengurus rumah sendiri.

Surirumah boleh memilih untuk menyiapkan kerja-kerja mereka bila-bila masa sedangkan pembantu rumah terpaksa melakukan tugas mengikut arahan tuan rumah. Sekiranya memiliki tuan rumah yang cerewet banyaklah tugasan mereka, memang tak akan habis sampai ke malam. Jadi pada sesiapa yang mempunyai pembantu rumah, bertimbangrasalah terhadap mereka kerana mereka juga insan.

Janganlah pula ada orang menganggap surirumah itu pembantu rumah, silap tu...surirumah BOS, pengurus rumahtangga.

Di sini, kebanyakan rumah memiliki pembantu rumah walaupun si isteri tidak bekerja. Si pembantu rumahlah yang membantu menyiapkan kerja-kerja rumah, sedangkan surirumah cuma berehat dan memanjakan diri. Memang orang Oman menghormati perempuan, malah sekarang ada beberapa orang wanita dipilih menjadi menteri.

Ada trend menggunakan khidmat pembantu rumah separuh masa, yang mana mereka diberi permit (free visa) untuk bekerja dimana-mana tempat yang ditentukan oleh penaja mereka atau mereka mencari sendiri. Maklumlah Oman termasuk ke dalam negara-negara Teluk, ramailah orang yang berminat untuk bekerja di sini walaupun tukang sapu jalan atau pembantu rumah.

Kerja pembantu rumah separuh masa ni agak berbeza daripada sepenuh masa, ini kerana mereka cuma melakukan kerja mengikut masa, dan dibayar mengikut jam bekerja. Tapi boleh dikatakan pendapatan mereka agak lumayan.

Bayangkan sekiranya bekerja satu jam sehari mereka mampu mendapat R.O 25 (RM 250) sebulan, sekiranya mereka bekerja di beberapa tempat pendapatan mereka boleh mencecah ratusan rial sebulan.Boleh dikira agak mewah juga, cuma masalah mereka ialah mendapatkan penginapan, yang terpaksa disewa agak mahal. jadi campur tolak, lebih kurang dengan pendapatan orang kerja sepenuh masa je. Ramai yang memilih bekerja sebegini, kerana agak bebas dan dapat ke sana sini dengan senang.

Kadang-kadang terfikir bagus juga melakukan pekerjaan sebegini, kerana ia dikira kerja sendiri dan tidak tertekan dengan majikan. Pembantu rumah ini selalunya mempunyai pelbagai pengalaman, kebanyakan mereka pernah bekerja sebagai pembantu rumah sepenuh masa kemudian menukar visa untuk bekerja sendiri.

Seorang pembantu rumah yang saya temui (orang India Kristian) menceritakan pengalaman beliau bekerja semenjak lebih 12 tahun di Oman. Beliau pernah bekerja dengan pelbagai kaum di sini, dan mempunyai persepsi sendiri tentang orang-orang Islam (kebanyakannya negatif). Beliau memang memiliki akhlak yang baik walaupun orang kristian.

Malah tugas yang beliau lakukan selalunya dapat mengurangkan bebanan tuan rumah. Ini kerana kebanyakan orang yang memerlukan khidmat beliau ialah surirumah yang mengandung ataupun selepas melahirkan anak. Bila berada diperantauan kerana mengikut suami, maka pembantu rumah sebeginilah yang menjadi teman setia. Selalunya bayaran perkhidmatan akan ditambah, mengikut lebihan masa bekerja.

Seorang kawan pernah menganjurkan kepada beliau untuk memeluk agama Islam, tapi beliau menolak atas alasan orang-orang Islam bukannya baik sangat. Terlalu banyak sikap-sikap negatif orang Islam yang beliau lihat. Bayangkan bekerja selama 12 tahun lebih dengan pelbagai kaum, kadang-kadang Oman, Sudan, India, Pakistan dan lain-lain.

Boleh dikatakan beliau melihat dan bergaul dengan ramai orang Islam di sini, sekiranya kita mampu mempamerkan sikap-sikap positif, kita akan mampu menarik orang-orang sebegini kepada Islam. Moga Allah membuka hati beliau untuk melihat kecantikan Islam dan memeluk Islam dengan rela hati. Jadi salah siapa sekiranya beliau cuma melihat perkara negatif setiap kali bekerja di rumah orang-orang Islam, malah diperlakukan seolah-olah bukan insan.

Cuma satu cerita positif diceritakan kepada saya tentang pengalaman beliau bekerja di rumah orang Portugis yang bekerja di sini. Beliau menceritakan bahawa keluarga Portugis ini mengamalkan makan kurma 7 biji seorang setiap pagi, selepas beberapa tahun bekerja di sini, keluarga ini akhirnya memeluk agama Islam, dan berpindah ke tempat lain.

Bila saya tanya apa yang menyebabkan mereka memeluk Islam, beliau memberitahu bahawa orang Oman dulu-dulu memang terlalu baik, sesiapa yang melihat mereka akan terpesona dengan Islam yang mereka tonjolkan. Cuma sikap orang-orang sekarang yang agak berbeza.

Sebenarnya di sini agak ramai pembantu rumah India dan Sri Lanka yang memeluk agama Islam apabila bekerja dirumah majikan yang baik. Cuma masalahnya mereka tidak diberi pendidikan dan ilmu agama oleh tuan rumah kerana masalah bahasa. Lagipun mereka tidak mempunyai kelapangan untuk belajar. Sayangnya...Mereka yang telah mendapat hidayat ini dibiarkan setelah memeluk Islam.

Jadi pembantu rumah sebenarnya mempunyai pelbagai kisah keluarga tempat mereka bekerja, apalagi bagi yang berada sepanjang hari di rumah kita. Oleh itu berbuat baiklah dengan pembantu rumah agak mereka tidak menyebarkan cerita-cerita negatif tentang kita, dan mereka mendapat idea yang positif tentang orang-orang Islam.

Adakah orang-orang Malaysia yang sanggup bekerja seperti ini, terutama dalam kegawatan ekonomi hari ini?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas