7 Mac - Hidup ke Bahasa Melayu?

Alhamdulillah hari ini saya ingin berkongsi pengalaman belajar bahasa, bersempena perhimpunan PPSMI. Moga-moga usaha murni mempertahankan bahasa Melayu difahami oleh pemerintah kita.

Bagi saya apalah yang ada dalam Bahasa Inggeris yang diterimapakai beberapa tahun kebelakangan ini. Apakah pengajaran bahasa Inggeris itu satu keperluan untuk diterap semenjak kecil lagi, seperti yang diperjuangkan oleh pembuat polisi. Apakah bahasa kita tidak mampu memenuhi kehendak perkembangan ilmu hari ini?

Sebenarnya kita hendaklah faham perbezaan ilmu dan maklumat. Ini kerana ilmu itu terhasil dari kefahaman kita, sekiranya kita cuma memerlukan maklumat, maka tak perlulah kita tergesa-gesa menggunakan bahasa asing dalam pendidikan kita. Padahnya ialah apakah jenis ilmu yang akan terhasil dari pemikiran yang tidak mempunyai prinsip yang jelas itu.

Ilmu terhasil dari adaptasi pemikiran, penghayatan, pengalaman dan pembacaan. Akan tetapi sekiranya pelajar tersebut tidak dapat menghayati maklumat yang dipelajari, kerana perbezaan budaya dan adat, maka apakah bentuk ilmu yang akan mereka hasilkan nanti. Rosaklah bangsa dan agama kita.

Matapelajaran matematik dan sains sekiranya mampu dihayati, akan mendekatkan kita kepada agama terutama sains, ia banyak berkait dengan diri dan perbuatan kita sehari-hari, tapi disaintifikan oleh pemikir hari ini. Akan tetapi sekiranya ia dipelajari dalam bahasa yang tidak mampu dihayati oleh pelajar, apakah penghayatan yang mampu diperolehi oleh mereka. kesian mereka...

Apa yang boleh dipersoalkan ialah, apakah kita cuma inginkan anak-anak kita mahir dalam ilmu tersebut tanpa menghayatinya dan mempraktikkan dalam hidup mereka? Sekiranya kita ingin melihat ilmu itu dihidupkan dalam diri anak-anak kita, maka gunakanlah bahasa yang sesuai dengan mereka. Bahasa yang dituturkan sehari-hari, mampu menolong pelajar memahami maklumat tersebut dengan lebih baik. Apabila pelajar mampu memahami, mereka akan mampu membentuk pemikiran yang baik berdasarkan bahasa itu.

Bagi saya sekiranya kita betul-betul jujur dengan agama kita, seharusnya kita memperjuangkan penggunaan bahasa Arab, kerana ia lebih dekat dengan fitrah kita. Ditambah lagi terdapat begitu banyak buku-buku karangan ulama Islam terdahulu yang masih memerlukan kajian daripada umat Islam. Malah ilmu-ilmu ini mampu mendekatkan kita kepada agama kita.
Tak perlulah ditekankan penggunaan bahasa Inggeris sehingga kita menolak bahasa yang menjadi darah daging kita. Ini kerana ilmu-ilmu yang dihasilkan oleh orang barat kosong dari segi rohani, yang akhirnya akan menyebabkan kekeliruan kepada umat Islam. Cukuplah ia kekal sebagai satu bahasa yang patut dipelajari.

Pengalaman saya berada di negara Arab, terasa betapa kurangnya kita sebagai umat Islam, walaupun kita mengaku kita betul-betul faham agama kita, tapi kita tidak mampu bertutur seperti orang Arab. Bahasa yang mereka gunakan adalah bahasa agama kita, jadi setiap patah perkataan yang keluar menggambarkan pergantungan mereka kepada Allah swt. Ucapan-ucapan yang keluar dari mulut mereka adalah doa-doa, hinggakan orang Arab kristian juga menuturkan sebegitu. Itulah pentingnya bahasa dalam kehidupan kita.

Jadi apakah yang kita dapat daripada penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran pada peringkat asas. Apakah kita mahu anak-anak kita hidup berpaksikan barat dalam setiap tindak tanduk mereka? Bukankah itulah (masa sekolah) masa genting dalam diri setiap insan, masa mereka mengumpul maklumat dan pengalaman hidup untuk memilih corak hidup mereka. Sekiranya kita terlalu menekankan penggunaan BI ini, hilanglah nilai agama yang ada didalamnya. Apakah yang akan terjadi kepada generasi masa hadapan negara kita?

Masalah penguasaan bahasa ni begantung kepada pelajar itu sendiri, sekiranya mereka mementingkan pencapaian yang baik dalam pelajaran mereka, maka mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami dan menguasainya. Apa yang berlaku ialah kelemahan dan kurangnya motivasi pelajar peringkat universiti untuk menguasainya.

Masalah ini bukanlah pada bahasa saja, malah ia berpunca daripada sikap pelajar universiti secara keseluruhannya. Mereka terlalu dimanjakan dalam hidup mereka, hingga wujud sikap malas berfikir. Pelajar universiti cuma bersikap ingin menadah segala maklumat yang diberikan oleh pensyarah, kemudian menghafalnya untuk mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Lihatlah perpustakaan yang besar di universiti-universiti, berapa peratus kah pelajar yang mengunjunginya? Kebanyakan pengunjung adalah pelajar peringkat sarjana dan beberapa orang pelajar yang terpaksa menyiapkan tugasan. Berapa ramaikah pelajar yang merujuk buku-buku yang diberikan oleh pensyarah mereka? Mereka bersikap lebih suka menghabiskan masa dengan urusan lain.

Juga berapa ramaikah pelajar yang bersoal-jawab dengan pensyarah mereka, walaupun pensyarah tersebut terang-terang melakukan kesilapan fakta? Masalah sikap inilah yang perlu diperbetulkan, bukannya penggunaan bahasa pada peringkat sekolah rendah. Sekiranya sikap pelajar universiti elok maka tidak akan timbul masalah PPSMI ni.

Pengalaman saya belajar di sekolah menengah agama yang tidak menitiberatkan bahasa Inggeris, kemudian melanjutkan pelajaran di UIA, yang menggunakan bahasa Inggeris dan Arab sepenuhnya. Memandangkan kami adalah pelajar baru dipilih untuk belajar jurusan Ilmu Wahyu dan Sains kemanusiaan yang baru diperkenalkan, jadi universiti melonggarkan syarat kemasukan ke universiti dengan menerima pelajar yang tidak dapat 'credit', dan gagal dalam bahasa Inggeris masa peperiksaan SPM.

Akan tetapi pihak universiti menyediakan kursus bahasa Inggeris yang mantap, yang mana kebanyakan pelajar mampu menguasai bahasa ini dalam tempoh dua tahun berada di pusat matrikulasi. seterusnya kami mampu meneruskan pengajian menggunakan bahasa Inggeris dan Arab sepenuhnya pada peringkat ijazah.

Memang pada minggu pertama, kami seolah-olah diazab kerana tidak mampu memahami segala arahan yang diberikan, tapi itu bukanlah kesudahannya. Segala kesusahan itu memberi kesan manis kepada kami, bila akhirnya berjaya bertutur dalam bahasa Inggeris macam orang lain, walaupun tidak menggunakan 'sleng' mat salleh macam pelajar hari ini.

Jadi apa yang kurang daripada sistem pengajaran yang lama? Bagi saya ia ternyata telah memberi kesan positif kepada ramai profesional di negara kita, dan seharusnya ia diteruskan lagi. Apabila pelajar mempelajari ilmu dalam bahasa yang boleh dihayati oleh mereka, ia akan meresap ke dalam hati mereka, dan mampu memberi hasil positif kepada pembelajaran mereka.

Persoalan bahasa Inggeris boleh diatasi sekiranya kementerian pendidikan menyediakan modul yang menarik dan berkesan, seperti yang mampu dilaksanakan oleh UIA suatu ketika dulu hingga mampu melahirkan pelajar jurusan agama yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Rosnah berkata…
WAH,KRITISNYA SAING AKU, NAH TAK PERNAH TERFIKIR SEKRITIS ITU. KAGUM...TABIK LAH...

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016