Ilmu Allah itu Sangat Luas

Bila bercerita tentang ilmu, memang ia tidak akan habis. Semakin kita cari ia akan semakin berkembang, itulah yang dijelaskan oleh Allah swt dalam Surah Al-Kahfi: 109 yang bermaksud:

"Katakanlah: "kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habis lah lautan itu sebelum habis ditulis kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)".

Sememangnya ilmu-ilmu Allah itu amat luas, carilah ia kerana ia akan menjadi 'Nur' dalam kehidupan kita. DIA memberi ilmu kepada setiap hamba-Nya sama ada disedari ataupun tidak. Kadang-kadang kita merasakan bahawa orang lain begitu hebat, memiliki ilmu yang luas, tanpa melihat ke dalam diri sendiri.

Bila kita menilai diri sendiri, barulah terasa bahawa kita juga memiliki ilmu yang tidak ada pada orang lain. Pengalaman hidup kita itulah ilmu yang paling berharga. Jadi bila kita fikirkan balik, semua orang memiliki ilmu yang boleh dikongsi dengan orang lain.

Bila kita berfikir sebegini, kita akan meyakini bahawa Allah itu Maha Adil terhadap hamba-hamba-NYA. Tidak ada lebih atau kurang dimana-mana, kasih dan sayang-NYA meliputi semua hamba-NYA. Di sini juga ia mengajar kita bersyukur dengan apa yang kita ada serta belajar menghargai orang lain.

Malah setiap kali kita berfikir, kita akan bertemu ilmu-ilmu yang mampu menguatkan ilmu yang sedia ada. Itulah kehebatan yang Allah kurniakan kepada manusia. Nur yang diberikan-Nya akan sentiasa menyinari hidup hamba-hamba-NYA.

Bila kita bercerita tentang ilmu, ia amat berkait dengan 'fikir'. Jadi fikirkanlah perkara-perkara yang akan mendekatkan kita dengan Pencipta kita, mengenali DIA melalui ciptaan-NYA. Subahanallah.

Pengalaman belajar ilmu getaran cahaya, warna dan bunyi mengajar saya melihat alam ini sebagai makhluk ciptaan Allah yang amat tersusun, serta diatur dengan begitu cantik sekali. Ia juga mengajar saya melihat ke dalam diri, membetulkan kesilapan diri dahulu sebelum menilai orang lain.

Ini kerana setiap anggota badan kita memiliki sifat-sifat positif yang tertentu. Jika timbul sifat negatif, kita hendaklah beringat kerana itulah tanda awal penyakit pada anggota badan tersebut. Subhanallah. Jadi penyakit juga akan dapat dicegah hanya dengan membaiki akhlak kita.

Jadi betullah kata-kata baginda Rasulullah saw: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia".
Apabila akhlak sesuatu generasi itu elok, maka akan berkuranglah penyakit yang menimpa mereka. Semakin teruk akhlak, makin banyaklah penyakit baru yang timbul.

Ini kerana Allah swt mencipta kita sebagai sebaik-baik kejadian di alam ini sebagaimana yang disebut dalam surah Al-Tiin: 4 "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya". Kita dijadikan dengan memiliki kelebihan yang tersendiri.

Lihatlah ke dalam diri, bayangkan keadaan kita suatu ketika dulu dan bandingkan dengan keadaan kita sekarang. Banyaknya ilmu yang telah kita kutip sepanjang hidup kita...Subhanallah.

Bila melihat ke dalam diri pula pelbagai ilmu yang mampu kita pelajari. Apa yang kita ingin belajar mulalah dengan diri dulu. Belajar metamatik boleh dimulakan dengan mengira-gira anggota badan kita, belajar sains boleh dimulakan dengan melihat ke dalam diri, malah begitu banyak ilmu yang boleh kita pelajari dari diri sendiri.

Subhanallah, melihat setiap sendi ditangan saja sudah cukup mengingatkan kita bahawa siapalah kita untuk sombong dan takbur. Tercalar sedikit sudah meninggalkan parut yang tidak akan hilang, apatah lagi untuk mencipta manusia seperti kita.

Bohonglah pengkaji-pengkaji Barat yang menyatakan bahawa mereka mampu mengklon haiwan, kemudian manusia, kerana mereka tidak mampu mencipta walau setitis air mani lelaki dan perempuan. Semuanya diluar kemampuan mereka...

Namun begitu ilmu DNA juga salah satu ilmu yang dikurniakan oleh Allah swt kepada manusia agar kita meyakini bahawa Allah saja Pencipta Alam ini dan manusia.

Melihat ke dalam diri sudah mampu menghasilkan pelbagai ilmu, apatah lagi melihat ke dalam perhubungan sesama manusia. Bagaimana kita mampu menjaga hubungan kita sesama manusia tanpa menjaga hubungan dengan Allah? Sesungguhnya semuanya amat berkait rapat, kerana orang yang mampu menjaga hubungan dengan Allah akan mampu menjaga hubungan sesama manusia.

Semua perkara mengandungi ilmu yang amat luas untuk dikaji. Itulah asas terbaik untuk kita berfikir.

Itulah sebabnya Allah mengutus Rasul-rasul-Nya yang terdiri daripada manusia sendiri, agar kita mendapat contoh terbaik dalam hidup kita. Ada ilmu yang kita anggap benar tapi jika ia bertentangan dengan amalan Rasulullah, maknanya ia belum tentu sesuai untuk kekuatan rohani kita.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?