Menangani Stress Belajar

Alhamdulillah hari ini saya berusaha untuk memenuhi janji berkongsi pengalaman menangani stress masa belajar. Moga ia boleh dimanfaatkan oleh adik yang bertanya dan kawan-kawan yang berminat.

Saya bukanlah pakar motivasi malah cara yang saya gunakan juga mungkin tidak sama dengan cara-cara yang disarankan oleh pakar motivasi belajar. Namun begitu cara ini banyak membantu saya menangani stress sewaktu belajar di sekolah dan universiti suatu ketika dulu.

1. Perasaan Seronok belajar
Bagi saya stress datang daripada pelbagai faktor, akan tetapi ia boleh diatasi sekiranya kita mempunyai perasaan seronok belajar. Sekiranya kita mampu menjadikan diri kita seronok untuk belajar dan diajar, kita tidak akan terasa stress. Ini kerana kita sentiasa seronok untuk hadir ke kelas setiap hari, dan dapat memberikan tumpuan semasa belajar.

Perasaan seronok belajar pula boleh didapati daripada banyak cabang, yang paling utama adalah diri kita, kemudian guru, kawan-kawan dan persekitaran. Niatkanlah bahawa kita ikhlas belajar ingin mendapat ilmu, serta jangan terlalu serius sehingga menekan diri.

2. Menjaga Masa
Kelemahan menjaga masa boleh menyebabkan kita stress. Apatah lagi sekiranya kita terlibat dengan pelbagai aktiviti ko-kurikulum. Kita terasa perlukan masa lebih daripada 24 jam. Bagaimana nak hadiri mesyuarat, menyiapkan tugasan serta pelbagai lagi tugasan. Rasa-rasa kiri kanan belakang depan semua nakkan masa kita.

Namun begitu sekiranya kita fikirkan masa tak cukup, kita akan semakin stress. Jadi carilah masa, aturlah masa kita sebaik-baiknya. Bagi saya semakin banyak tugas yang perlu disempurnakan, kita akan lebih berdisiplin dalam menjaga masa.

Pengalaman saya masa belajar di universiti, keputusan peperiksaan yang paling baik saya perolehi ketika saya memegang jawatan exco majlis perwakilan pelajar. Saya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang diperolehi kerana kesibukan yang melampau ketika itu.

Jika kita perlukan masa, kita mesti mencarinya, masa itu sentiasa cukup cuma kita yang tersilap mengaturnya.

3. Pandangan Positif terhadap Guru atau Pensyarah
Pastikan kita menerima kekurangan dan kelebihan guru atau pensyarah. Ini adalah penting agar kita cuma memiliki pandangan positif kepada orang yang memberi ilmu kepada kita.

Selagi kita positif kepada pensyarah, segala ilmu yang diajar akan senang meresap masuk ke dalam hati kita. Ini dapat mengelakkan kita merasa tertekan, serta hormati mereka sebagai orang yang lebih tahu daripada kita. Sekiranya tidak mampu (sikap beliau yang terlalu negatif) kita boleh withdraw (sistem UIA), dan belajar semula pelajaran tersebut daripada pensyarah lain.

4. Jangan fikirkan masalah lain
Kadang-kadang kita memikirkan permasalahan diluar kawalan kita. Masalah keluarga, adik-beradik, kawan-kawan serta pelbagai lagi masalah. Semakin kita fikir, kita makin tertekan, ada yang berfikir sehingga ia memakan diri sendiri.

Ada orang yang mengira ia sebagai tanda simpati kita kepada mereka. Sebenarnya jika kita kurang memikirkan perkara diluar kawalan kita, kita akan lebih tenang dan dapat menumpukan sepenuh perhatian kita kepada pelajaran.

Apa yang perlu kita lakukan ialah mencari penyelesaiannya. Sebagai contoh kita miskin, tidak mempunyai cukup duit untuk makan, kita boleh berkongsi makan dengan kawan-kawan yang senasib kita. Itulah yang kami praktikkan suatu ketika dulu, alhamdulillah.

Banyak kelebihannya seperti yang disebutkan dalam hadis Rasulullah saw: "makanan untuk dua orang cukup untuk tiga orang, dan makanan untuk tiga orang cukup untuk empat orang".

5. Fokuskan keinginan diri.
Pastikan kita fokuskan apa yang ingin kita capai dalam hidup ini, serta berusaha untuk mencapainya. Sentiasa motivasikan diri sendiri dengan mengambil pelajaran daripada kesusahan orang lain.

Ingat selalu hadis Rasulullah; "Lihatlah orang yang dibawah dari kamu, dan jangan melihat orang yang diatas dari kamu" . Sekiranya kita berfikiran begini, kita akan berasa bersyukur dan sentiasa berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Ia dapat mengelakkan diri daripada stress, kerana sekiranya kita asyik melihat orang yang lebih dari kita, kita akan kurang bersyukur. Hati akan terasa tidak cukup dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita.

Semakin banyak kita mengucapkan kesyukuran kepada Allah, DIA akan melipatgandakan kurniaan-NYA kepada kita.

6. Belajar Berkumpulan
Belajarlah secara berkumpulan, ia lebih baik daripada sendirian. Kawan-kawan boleh memberi keceriaan kepada kita, malah mampu membetulkan kesilapan kita.

Percayalah bila kita berada dalam kumpulan kita akan lebih mantap dan kuat. Kadang-kadang kita terasa malas untuk menyiapkan tugasan kita, tapi bila ada kawan belajar bersama-sama kita akan menyiapkannya lebih cepat.

Itulah kenangan masa belajar yang tidak mampu saya lupakan. Kawan-kawan terlalu banyak membantu.Mereka sanggup ke asrama saya walaupun ia terletak jauh daripada kampus, semata-mata ingin belajar bersama. Alhamdulillah. Terima kasih sahabat.

7. Mengajar kawan-kawan
Pengalaman mengajar kawan-kawan juga sangat membantu saya. Ini kerana sesiapa yang ingin mengajar perlu menyiapkan diri, mengulangkaji, membuat ringkasan tajuk serta pelbagai lagi perkara positif.

Alhamdulillah, kami mampu berkumpul ramai-ramai untuk belajar setiap kali "revision week", mengulangkaji beramai-ramai, kemudian berjaya beramai-ramai. Itulah kelebihan yang Allah berikan kepada kami bila lebih daripada 50 orang berjaya memasuki universiti yang sama. Ikatan ukhwah terlalu rapat, malah ada yang mampu menarik kawan-kawan lain turut belajar bersama.

Malah setiap kali mengajar, Allah bukakan hati kita untuk lebih memahami apa yang kita ajarkan. Memang sesiapa yang berkongsi ilmu tidak akan berkurang ilmunya, malah dilipatgandakan ilmu tersebut.

8. Keredhaan Ayah Bonda dan keluarga
Bila kita ikhlas dalam setiap kerja kita, kita akan mampu meyakinkan ibubapa dan keluarga. Ini menambahkan keredhaan mereka kepada kita. Doa restu mereka juga dapat membantu memantapkan lagi usaha kita.

Jadikan ibubapa kawan kita, dengan berkongsi pengalaman kita. Ini kerana mereka lebih tahu dan memahami siapa kita, anak yang dijaga semenjak kecil lagi.

9. Doa dan Yakin
Berdoalah selalu selepas berusaha, moga Allah merahmati segala usaha kita. Kita juga perlu yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa-doa kita.

Insya Allah keyakinan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada kekuasaan Allah, akan memberi keputusan positif kepada kita. Sebagaimana sabda Rasulullah dalam hadis Qudsi: "Aku bersama sangkaan hamba-KU..."

Selain itu terdapat pelbagai lagi cara menangani stress masa belajar, carilah teknik yang paling bersesuaian dengan kita dan amalkannya. Insya Allah dipermudahkan segala urusan kita. Selamat Berjaya.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?