Mengapa Saya Menulis 3?

Alhamdulillah kali ini kita berkongsi lagi mengapa saya menulis? Apakah tujuan saya menghabiskan masa dengan menulis setiap hari, ada yang diposkan dan ada yang masih dalam draft folder.

Bagi saya tulislah sesuatu... kerana bila kita menulis kita akan terasa bahawa kita kita memberi sumbangan kepada masyarakat luar. Malah perkongsian ilmu akan membantu kita agar lebih mendalami dan memahami isu yang ditulis.

Ilmu tidak akan habis, malah akan semakin bercambah dengan menulis. Ini kerana setiap perkara yang kita tulis berkait dengan sesuatu, jadi perkaitan ini meluaskan pemikiran kita. Ini bermakna bila menulis kita akan meguatkan daya pemikiran kita.

Pilihlah sesuatu bidang dan tulislah apa-apa sahaja yang kita tahu ataupun persoalan kita mengenainya. Bila kita membaca balik kita akan berfikir kembali untuk memantapkan tajuk tersebut. Inilah satu cara kita meluaskan ilmu pengetahuan kita. Ingat..ilmu dapat membenteng kita ketika ditimpa musibah, jadi mulalah menulis.

Bagi saya, ia adalah 'brainstorming' untuk tindakan seterusnya. Semasa proses ini saya mengeluarkan segala idea-idea yang tersimpan dan menulisnya. Saya memilih untuk menggunakan blog kerana ia memudahkan segala kerja saya untuk 'brainstorm' pelbagai bidang yang pernah saya pelajari.

Apa yang saya rasa pemikiran saya semakin ringan, malah pelbagai perkara yang agak berat sebelum ini menjadi semakin mudah untuk diselesaikan. Barulah saya memahami ertikata 'meluahkan'.

Mungkin itulah sebabnya kita diingatkan agar menyampaikan segala ilmu yang kita ada sebagaimana sabda Rasulullah "Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat". Ini kerana bila ilmu itu disimpan dalam diri tanpa dikongsi dengan orang lain, ia seolah-olah memakan diri. Tapi bila ia dikeluarkan kita akan terasa lega alhamdulillah. Itulah kelebihan orang yang mengajar (Cikgu) mengeluarkan ilmu setiap hari, makin bercambah ilmu mereka.

Sebab itu jugalah saya menjadikan menulis sebagai 'terapi' kepada saya yang rindu untuk bercakap bahasa Melayu. Almaklum berada di negara orang, jiran sekeliling bukan sebangsa, suami juga bukan sebangsa, cuma anak-anak saja yang masih bercakap bahasa Melayu walaupun tidak banyak perkataan yang mereka ingat, jadi menulis menjadi 'terapi' kepada saya Alhamdulillah.

Bagi saya setiap orang mempunyai ilmu yang tersendiri walaupun ia adalah tajuk yang sama. Teringat pertemuan dengan guru yang mengajar anak saya minggu lepas. Beliau mencadangkan agar saya menyuruh anak-anak saya menulis apa-apa saja aktiviti mingguan yang kami jalankan seperti keluar ke taman, ziarah dan sebagainya. Ia sebagai latihan kepada kanak-kanak untuk berfikir dan memerhati.

Tapi bila saya menyuruh anak-anak menyoal balik 'takkan nak tulis tajuk yang sama nanti samalah tulisan kita'. Mereka masih belum faham konsep ilmu, bila diterangkan alhamdulillah mereka berpuashati.

Saya berkata: "Cikgu di sekolah hanya memberikan satu saja tajuk karangan kepada murid-murid dalam kelas setiap kali latihan. Tapi jawapannya masyaAllah begitu hebat, macam-macam tulisan yang tak sama (kecuali yang meniru), jadi cikgu mendapat ilmu dari pelbagai sudut" Itulah kehebatan menulis yang tidak ada pada benda lain.

Jadi luahkanlah idea anda, cubalah menulis agar segala tulisan itu menjadi kenangan anda suatu hari nanti. Malah ilmu dan pengalaman anda boleh menjadi panduan kepada orang lain yang membacanya. Ingatlah ilmu tidak akan habis apabila ditulis malah semakin bercambah. Jadi tulislah dan tulislah...jangan jemu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman