Pendidikan di Oman

Semalam anak sulung saya amat gembira ketika sampai di rumah dan memberitahu ada berita penting yang ingin dikongsi. Ingatkan apa, rupa-rupanya Cikgu di sekolah memberitahu bahawa minggu depan ada nazir dan pelawat akan melawat sekolah mereka.

Jadi apa pulak yang menyebabkan anak saya terlalu gembira? Takkanlah ada nazirpun gembira begitu sekali, apa kena mengena dengan dia?

Kemudian dia berkata lagi: "Umi tak nak tahu ke siapa yang akan datang tu?" Abla (panggilan untuk cikgu di sini) kata pelawat tu orang-orang dari Malaysia. Rupa-rupanya itulah punca kegembiraannya. Maklumlah bila berada di negara orang, bila dengar tentang orang sama negara pun dah begitu mengembirakan, apatah lagi dia seorang saja anak Malaysia yang bersekolah di situ.

Anak saya dah jadi seolah-olah duta kecil di situ, bila sebut saja Malaysia, orang memandang tinggi kepada dia, alhamdulillah. Jadi saya sentiasa ingatkan agar dia belajar bersungguh-sungguh dan menjadi contoh orang Malaysia yang berjaya. Itulah realitinya...orang Arab anggap orang Malaysia hebat, hebat kat mana tak tahulah.

Lagipun di sekolah anak saya (perempuan sahaja) terdapat ramai pelajar asing termasuklah seorang pelajar Jepun. Yang lain-lain adalah anak-anak orang Oman, Mesir, Sudan, Tunisia, Syria dan lain-lain. Jadi Alhamdulillah beliau mampu berkawan dengan pelajar-pelajar Arab dari pelbagai negara dan berkongsi adat dan budaya mereka.

Ini kerana sekolah ini (sekolah kerajaan Oman) terletak ditengah-tengah bandar yang dipenuhi orang asing yang mencari rezeki di Oman. Jadi persaingan sesama mereka amat kuat, malah sikap anak-anak orang Arab ni agak berbeza dengan kita. Mereka amat berani dan yakin untuk bercakap berbanding anak saya yang terikut-ikut adat anak orang melayu (malu-malu kucing). Namun begitu dia selalu ingin mencuba alhamdulillah.

Sememangnya kerajaan Oman menyediakan prasarana yang hebat untuk pendidikan, segala-galanya disediakan percuma termasuklah buku-buku teks dan pengangkutan dari tempat tinggal pelajar. Memang anak subsidi la sampai habis belajar di universiti. Maklumlah negara kaya, penduduk pula sedikit, jadi kekayaan tersebut diagih-agihkan.

Bila mengikuti sistem pendidikan asas (darjah 1 - 4), cara pembelajaran mereka agak seronok dimana pelajar-pelajar akan bergerak dalam kumpulan untuk belajar di kelas-kelas mengikut jadual (trend pelajar universiti). Para pelajar akan berbaris ke kelas guru-guru terbabit yang menunggu dalam kelas, kadang-kadang mengiringi mereka ke kelas yang ditetapkan.

Bagi budak kecil peluang berjalan-jalan begini seolah-olah latihan pada mereka, yang amat membantu mereka menumpukan perhatian semasa dalam kelas. Tiada peperiksaan untuk peringkat ini, jadi penilaian pelajar adalah secara keseluruhan termasuklah akhlak pelajar.

Entah apa yang ingin dilihat oleh pelawat-pelawat dari Malaysia wallahua'lam. Seingat saya tahun lepas ada sekumpulan pegawai kementerian pendidikan Malaysia datang ke sini, melihat sistem pendidikan di sini yang agak baru jika dibandingkan dengan kita.

Sebenarnya sistem pendidikan di Oman dihasilkan daripada pengalaman negara arab dan negara-negara lain seperti Mesir, Tunisia, Sudan dan lain-lain. Suatu ketika dulu guru-guru mereka diambil dari Mesir, Sudan dan lain-lain. Tetapi sekarang kebanyakan guru adalah rakyat Oman sendiri yang amat menitikberatkan adat dan budaya mereka. Jadi sistem yang digunapakai sekarang agak cantik untuk mendidik anak-anak tanpa tekanan. Belajar sambil bermain, itu yang menyeronokkan pelajar.

Bila berpindah ke peringkat ke dua (darjah 5 - 9), sistemnya agak berbeza sedikit. Namun begitu keseronokan masih ada, dan disesuaikan dengan umur pelajar-pelajar tersebut. Pada peringkat ini pelajar lelaki dan perempuan diasingkan untuk menghadiri sekolah yang berbeza. Jadi anak-anak bebas belajar tanpa perlu memikirkan masalah malukan pelajar daripada jantina berlainan.

Tentang pendidikan menengah saya tidak mampu memberi gambaran kerana anak-anak masih pada peringkat awal.

Bagi pelajar yang memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan umum, akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti Sultan Qaboos dan universiti-universiti lain. Universiti Sultan Qaboos adalah diantara universiti yang diidam-idamkan oleh semua pelajar Oman.

Ini kerana segala perbelanjaan pengajian akan ditanggung oleh kerajaan termasuklah elaun saradiri, malah tenaga pengajarnya adalah pensyarah-pensyarah terpilih daripada seluruh dunia. Jadi peluang menjejaki kaki ke universiti ini dikira terlalu hebat bagi anak-anak Oman. Manakala pelajar asing biasanya akan pulang melanjutkan pelajaran di negara masing-masing.

Teringat pula minggu lepas saya dan suami melawat beberapa buat sekolah asasi untuk mendapat sedikit maklumat tentang pendidikan di sini. Kami sempat melawat tiga buah sekolah yang terletak berdekatan dengan Muscat, Bandar Diraja Oman.

Bermula dengan sekolah di Sidab, bersebelahan dengan bandar Diraja, kemudian berpindah ke sekolah Bustan, sekolah yang dihadiri oleh anak penduduk berhampiran yang kebanyakannya anak-anak nelayan disitu, kemudian berakhir dengan sekolah Al-Zahra ditengah-tengah bandar Diraja, sekolah yang dihadiri oleh ramai anak-anak pekerja dibandar itu.

Apa yang boleh saya katakan bahawa kami tidak pernah menyangka akan wujudnya sekolah-sekolah dikawasan tersebut, walaupun pernah beberapa kali ke sana. Kedudukan sekolah yang tidak berapa jauh antara satu sama lain memberi khidmat kepada penduduk dikawasan yang ditetapkan, malah pengangkutan bas sekolah juga dihadkan mengikut kawasan tempat tinggal.

Manakala sikap guru-guru dan pelajar agak berbeza mengikut keadaan sekolah.Kebetulan ketika kami melawat sekolah Bustan, sekumpulan pelajar baru pulang daripada mengikuti satu pertandingan dan mereka memenangi tempat pertama, jelas sangat kegembiraan anak-anak itu, kami juga tumpang seronok.

Namun kunjungan ke sekolah dibandar agak berbeza, suasana agak tegang, malah sikap guru-guru juga nampak agak tertekan, tidak seperti sekolah lain yang agak tenang dan ceria.

Jadi bagi saya, keadaan yang tenang mempengaruhi anak-anak yang bersekolah di situ, sekiranya sekolahnya tenang, maka pelajarnya turut ceria. Akan tetapi sekolah yang sikap pihak pengurusannya agak tegang, akan memberi kesan kepada pelajar juga akhirnya.

Pendidikan di Sekolah asasi (darjah 1 - 4) diajar oleh guru-guru wanita. Malah semua jawatan dipegang oleh wanita, dari pengetua, pegawai perhubungan sosial, guru-guru hinggalah tukang cuci sekolah semuanya wanita, kecuali pengawal dan pemandu bas sekolah sahaja lelaki.

Kemudian di peringkat kedua pelajar perempuan dididik oleh guru-guru perempuan, dan lelaki oleh guru-guru lelaki. Jadi pendidikan anak-anak perempuan dibawah didikan wanita sepenuhnya.

Namun begitu saya pernah juga melihat guru-guru sekolah menengah lelaki berdekatan rumah berinteraksi dengan pelajar-pelajar lelaki yang agak tidak berdisiplin. Agaknya pelajar-pelajar lelaki memang perlu dididik oleh guru lelaki barulah dapat memberi kesan kepada mereka. Jadi inilah sedikit perkongsian pendapat tentang pendidikan di sini hasil pemerhatian saya.

Ulasan

ummu latifah berkata…
Salam,
Sebagai sambungan cerita kedatangan pelawat dari Malaysia ke sekolah anak-anak.

Memang betul mereka datang melawat dan melihat cara pengajaran bahasa Arab. Cuma lawatan ditempat berbeza, anak sulung yang beria-ia memberitahu pelawat akan datang ke sekolah dia, rupa-rupanya lawatan ke sekolah adik-adiknya. Frust jugak la si kakak.

Balik sekolah je dia terus beritahu bahawa pelawat tak jadi datang, ta'jil ila waqt 'akhar. Jadi adik-adikpun cakap, pelawat tu datang sekolah kami.

Malah Emad (no.3) beritahu, pelawat tu suruh dia 'baca kuat-kuat', sebab kawan dia beritahu bahawa Emad boleh bercakap Melayu.

Begitulah cerita anak-anak dan pelawat dari Malaysia.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas