Mengapa Saya Menulis 2?

Alhamdulillah hari ini saya ingin berkongsi lagi apa tujuan saya menulis. Ini kerana bila ia dijelaskan saya akan terasa sesiapa yang pernah membaca tulisan diblog ini akan faham mengapa tulisan saya bercorak sebegini.

Sebenarnya saya sedang berlatih menulis dalam bahasa Melayu setelah mengabaikan bahasa ibunda ini semenjak menjejaki kaki ke UIA dari tahun 1989. Rupa-rupanya lebih kurang 20 tahun saya meninggalkan penulisan terutama bila tidak belajar karangan bahasa Malaysia.

Saya akui itulah kesilapan terbesar saya, walaupun bidang kajian saya semasa MA dan Phd berkaitan dengan masyarakat Melayu tetapi tulisan semuanya dihasilkan dalam bahasa Arab. Saya tidak tahu apakah ada orang Melayu yang mendapat manfaat daripada tulisan saya, namun saya berdoa agar usaha yang sedikit itu dapat menyampaikan ilmu tentang masyarakat Melayu kepada warga luar.

Jadi dalam tempoh ini saya cuba untuk menulis apa saja idea yang terlintas dalam kepala saya, logik atau tidak semuanya tidak penting, kerana saya cuma ingin berlatih menulis dengan cepat tanpa memikirkan kesannya. Saya tahu banyak kelemahan dalam tulisan saya, kerana ia tidak pernah saya edit, saya hanya meluahkannya dan poskan untuk saya baca semula.

Sekiranya ada orang lain yang membacanya dan tidak bersetuju dengan idea saya, mereka boleh mengkritiknya dalam ruangan komen. Jadi tulisan di sini hanyalah kumpulan idea harian yang akan dikembangkan lagi bila diperlukan.

Malah saya sentiasa menulis pelbagai persoalan, yang memerlukan kajian seterusnya, sama ada saya melakukannya sendiri ataupun sesiapa yang berminat dengan idea saya. Dipersilakan meneruskan apa-apa kajian ke atas idea-idea saya. Memang tidak semua idea berguna tapi ia tetap idea yang ada harganya suatu hari nanti.

Sebenarnya semenjak menulis di sini saya mendapat satu cara terbaik untuk mengumpulkan idea, kerana kita boleh menyusun segala idea dalam lebel tertentu, jadi semua idea saya dah tersusun dalam lebel-lebel yang saya pilih alhamdulillah. Inilah kebaikan berblog untuk memantapkan penulisan.

Alhamdulillah apabila meneliti idea-idea yang telah ditulis saya merasakan ia sudah mencukupi untuk saya meneruskan misi kedua dalam penulisan. Moga impian ini akan tercapai...menjadi surirumah efektif untuk diri dan keluarga.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman