Pengalaman Mencari Diri 2

Alhamdulillah hari ini terasa ingin berkongsi pengalaman mencari diri lagi. Inilah di antara pengalaman yang memberi kesan yang amat mendalam kepada saya.

Saya memang suka belajar dan mengumpulkan maklumat (namun tidak sehebat pakar). Saya akan menghadiri program-program yang saya kira dapat memberikan input kepada saya. Alhamdulillah semasa mencari itu saya diketemukan dengan pelbagai ilmu, formal dan tidak formal.

Malah ada diantara ilmu tersebut masih pada peringkat penilaian sampai sekarang. Namun begitu ia tetap menjadi satu ilmu yang amat mahal kepada saya, yang tidak ada pada insan lain. Alhamdulillah.

Saya amat bersyukur kerana saya telah belajar ilmu asas sebelum belajar ilmu lain, jadi ilmu-ilmu tersebut menjadi pelengkap kepada ilmu yang telahpun saya pelajari iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah. Namun begitu ujiannya amat hebat, yang mana hanya penyerahan sepenuhnya kepada Allah yang boleh membantu. La haula wala quwwata illa billahi 'alayyil 'adzim.

Itulah kehebatan ilmu yang Allah berikan kepada insan-insan tertentu, terutama kepada orang-orang yang ikhlas ingin memahami ilmu-NYA. Jadi saya bersyukur kerana sempat mempelajari sedikit ilmu tersebut untuk mengenal diri.

Kata seorang kawan yang pernah sakit berpuluh tahun (20 tahun lebih mengalami penyakit misteri) : "Setiap kali saya pergi berubat, saya disuruh mengenal diri. Hari ini saya berpeluang mendapat sedikit ilmu mengenal diri, yang penuh bergemerlapan dan bercahaya, Hebatnya kejadian Allah swt".

Alhamdulillah saya berpeluang untuk belajar konsep getaran cahaya, warna dan bunyi yang telah diolah sebegitu rupa oleh pengasasnya, siap dengan Islamisasinya. Sayangnya saya bukanlah pengamalnya yang aktif sebagaimana orang lain kerana tujuan saya belajar hanya untuk memahami ilmunya. Malah sampai sekarang saya masih mengkaji ilmu ini, cuba memahami ilmunya dari sudut Islam.

Dari situ saya beroleh pelbagai ilmu berkaitan dengan mengenal manusia. Subhanallah...begitu uniknya kejadian manusia...kita tidak akan mampu hidup tenang tanpa berpandukan wahyu daripada Allah swt. Barulah saya memahami mengapa kita disuruh beribadah kepada Allah swt.

Namun begitu setiap ilmu hanyalah berdasarkan hipotesis, kita tidak dapat meyakinkan ia sama ada betul atau tidak walaupun seluruh dunia mengakuinya. Ia mungkin bersesuaian dengan satu tempat tapi tidak sesuai di tempat lain kerana ia hanyalah ilmu yang ditemui oleh manusia sendiri.

Benar juga kata Syeikh Hassan dalam kuliah di Resalah TV beberapa hari lepas bahawa: "Ilmu bermula dengan hipotesis (dhanni) dan berakhir dengan hipotesis serta terbuka untuk kritikan"
Malah setiap idea bersifat persendirian, ia hanyalah idea penulis yang boleh dipertikaikan. Walaupun ia dihasilkan oleh insan yang hebat ia tetap ilmu dhanni, bukan ilmu yakin. Manakala ilmu yang sebenar adalah yakin. Ia bersumberkan wahyu daripada Allah swt sama ada Al-Quran atau Sunnah.

Saya bukanlah pemberi hukum, kerana bagi saya kita hendaklah memahami ilmu tersebut sebelum memberi hukuman betul atau salah ilmu tersebut. Yang jelas Allah memberi ilmu yang tidak sama kepada manusia walaupun dalam bidang yang sama. Seorang doktor yang mendalami bidang yang sama akan sampai kepada konklusi yang berbeza, itulah kehebatan Pencipta kita.

Biasanya kita akan sampai kepada ilmu-ilmu sebegini setelah begitu lama diuji. Malah setiap orang akan mengalami ujian yang berbeza-beza dalam usaha mereka 'mencari diri'. Alhamdulillah saya bersyukur mengalami ujian-ujian sebegini yang membuatkan saya banyak berfikir tentang manusia dan kejadian Allah swt.

Ya Allah berikanlah kekuatan dan keyakinan kepadaku untuk mengamalkan ilmu-ilmu yang jelas dan sahih daripada-MU sahaja. Amin.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman