Lagi Pendidikan di Oman

Bila bercerita tentang pendidikan dimana-manapun ada sistem yang telah disusun oleh generasi terdahulu. Semua usaha tersebut dilakukan untuk memberi pendidikan yang tersusun kepada anak-anak.

Apabila anak-anak dihantar ke sekolah mereka belajar pelbagai perkara yang tak mampu ibubapa sediakan dirumah. Di situ mereka belajar bagaimana menyesuaikan diri dengan pelajar-pelajar lain, jauh dari ibubapa. Ilmu yang mereka dapat bukan setakat silibus yang diajar oleh guru-guru, tapi pelbagai cerita dan pengalaman kawan-kawan.

Kadang-kadang terlalu banyak cerita yang ingin mereka kongsi, kawan itu cerita tentang negara mereka, kawan lain cerita tentang adik-beradik mereka. Mereka berkongsi cerita dan pengalaman masing-masing, berkongsi kemahiran masing-masing tanpa perlu diajar oleh ibubapa dan guru, alhamdulillah. Mereka juga belajar membawa diri dalam masyarakat kecil iaitu sekolah dengan disiplin tertentu yang mesti dipatuhi.

Manakala dirumah ibubapa berpeluang menambah ilmu kehidupan yang lain, seperti mengurus dan mengemas rumah, menjaga masa dirumah serta pelbagai lagi ilmu yang tidak disediakan disekolah. Insya Allah anak-anak akan mendapat ilmu yang mencukupi untuk mereka membawa diri mereka walau dimana mereka berada.

Bila bercerita tentang pendidikan di Oman, terdapat pelbagai lagi sistem pendidikan yang diterimapakai oleh penduduk di sini, iaitu pendidikan di sekolah-sekolah swasta yang diperkenalkan oleh orang-orang Mesir, Sudan, India, Pakistan, Sri Lanka termasuklah sekolah swasta dari Barat.

Ini adalah trend yang biasa seperti negara-negara lain, ibubapa yang tidak dapat menerima sistem kerajaan akan memilih sistem lain yang dianggap baik untuk pendidikan anak-anak mereka. Sama ada pendidikan yang berteraskan agama ataupun sistem yang bersesuaian dengan pendidikan negara mereka.

Namun begitu sistem pendidikan pra-sekolah lebih tertumpu kepada sekolah menghafal Quran, yang mana kebanyakan kanak-kanak mampu menghabiskan hafalan juzuk Amma sebelum melangkah ke darjah satu. Sekolah-sekolah pra-sekolah swasta boleh didapati di semua tempat, mengikut sistem yang dipilih oleh ibubapa.

Yang menjadi masalah ialah bagi anak-anak yang belajar di sekolah swasta yang tidak memasukkan kurikulum agama sebagai matapelajaran. Ibubapa perlu mencari sumber lain untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak ataupun mengajar sendiri. Jika anak-anak itu tidak menguasai bahasa Arab, maka mereka akan menghadapi masalah didikan agama, kerana tidak ada sekolah agama yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Malah pendidikan ini tidak disediakan oleh penduduk tempatan kerana pendidikan sebegini disediakan di sekolah-sekolah kerajaan dan penduduk setempat di dalam bahasa Arab.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman