Sehari Bersama Mufassir

Alhamdulillah saya telah diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu dengan Mufassir Ustaz Ahmad Sonhadji Ahmad, penulis kitab Tafsir Abr Al-Athir. Sebuah kitab tafsir dalam bahasa melayu yang menjadi rujukan ramai pelajar sekarang.

Lebih mengembirakan lagi saya juga diberi kesempatan untuk menginap di rumah beliau dan berkenalan dengan beberapa orang ahli keluarga beliau. Itulah ketentuan Allah ketika saya sedang menyiapkan tesis sarjana saya.

Entah mengapa saya teringin sangat untuk menulis tentang tafsir tersebut yang masih belum dibuat kajian lagi pada waktu itu. Segala urusan dipermudahkan oleh Allah, malah perjalanan tesis tersebut juga begitu mudah. Alhamdulillah.

Sebenarnya saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk bertemu beliau memandangkan saya perempuan, dan tidak pernah berkunjung ke Singapura, tempat tinggal ustaz Ahmad Sonhadji. Akan tetapi ketetapan Allah mengatasi segala-galanya.

Setelah berjaya menyiapkan bahagian pertama tesis, tiba-tiba saya dipertemukan dengan seorang kawan baru (Aini) di Pustakaan UIA. Beliau memberitahu bahawa dia cucu kepada Mufassir tersebut. Dalam percaya dan tidak saya bertanya beliau sedikit sebanyak tentang mufassir tersebut. Susah nak percaya tetapi itulah ketentuan Allah.

Teman baru tersebut mencadangkan agar saya bertemu dengan Datuk beliau, dan beliau menguruskan segala-galanya. Sememangnya tidak ada ungkapan yang boleh saya katakan, betapa saya amat terhutang budi kepada beliau dan seluruh ahli keluarga beliau. Terima kasih Aini, Makcik Ratna dan Pakcik Khair.

Alhamdulillah perjalanan ke Singapura begitu mudah dan lancar. Malah sehari semalam berada bersama-sama keluarga mufassir tersebut akan terus kekal dalam memori saya. Pengajaran paling penting yang saya perolehi bahawa sememangnya orang yang hatinya dekat dengan Al-Quran, maka kehidupannya juga mencerminkan apa yang disebut dalam kitab suci itu.

Walaupun Ustaz Ahmad Sonhadji sudah tua (72 tahun ketika itu) akan tetapi beliau amat cergas dalam urusan dakwah. Kehidupan seharian beliau dipenuhi dengan urusan-urusan dakwah, dan beliau tidak meninggalkan solat di masjid. Malah saya turut dibawa melawat Masjid tempat beliau ditugaskan.

Pengajaran yang paling utama buat diri ialah "Serahkan segala-galanya kepada Allah pasti DIA akan mengaturkan yang terbaik buatmu".

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman