Luahkan Sayang Anda

Alhamdulillah hari ini saya ingin bercerita tentang satu lagi sikap wanita-wanita Arab yang saya temui. Bagi saya sikap ini juga bagus untuk kita amalkan iaitu suka meluahkan perasaan sayang mereka sesama kawan-kawan. 'Astaqtu ilaiki' (saya rindu pada awak), 'uhibbuki fillah' (saya sayangkan anda kerana Allah) serta pelbagai lagi ungkapan-ungkapan yang sedap didengar.

Perkataan "hubb" inilah yang mengikat persahabatan sesama mereka. Malah ada yang meggunakan perkataan ini pada setiap ayat yang dituturkan, hinggakan kita yang mendengar turut terpesona. Sebagai contoh "uhibbu an aqul..." (saya suka menyatakan....).

Cuba lihat muka kita bila menuturkan perkataan ini "uhibbu", tengoklah memek muka bila menyebut perkataan ini, ia perkataan yang berakhir dengan senyuman. Bayangkan betapa manisnya muka orang yang mengucapkan perkataan ini dari hati dengan perasaan tulus ikhlas, Subhanallah. Inilah 'dhuq' bahasa Arab yang tidak ada pada bahasa lain. Alhamdulillah saya berkesempatan untuk bergaul dengan wanita yang memiliki rasa kasih sebegini.

Malang pula bagi orang melayu,
kerana 'hubb' dalam bahasa melayu adalah 'cinta' atau 'sayang', agak kurang disebut seolah-olah ia eksklusif untuk orang-orang tertentu sahaja. Ia hanyalah perkataan untuk diluahkan kepada pasangan atau ibubapa sahaja. Kalau nak sebutkan pada kawan-kawan, orang yang mendengar terasa janggal pula.

Mungkin ada yang dah selalu mengamalkannya, tahniah kerana anda berani menggunakan perkataan ini secara terbuka, teruskanlah menyebarkan rasa kasih anda kepada setiap makhluk di alam ini. Saya pun baru nak bertatih menggunakan perkataan sebegini kepada kawan-kawan, terasa berat pula lidah ini sebab tidak diajar dari dulu.

Sebenarnya mereka menghidupkan sunnah Rasulullah saw. Bila kita baca hadis-hadis Rasulullah kita akan bertemu banyak hadis tentang kasih sayang ini. Malah ada hadis dimana Rasulullah menyuruh kita menyatakan kasih tersebut terhadap kawan-kawan kita sebagaimana hadis "Apabila seseorang lelaki meyayangi saudaranya, maka beritahulah dia bahawa dia mengasihi sahabat itu" - hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi.

Dalam satu hadis lain Rasulullah saw bersabda:
"Dan demi Allah yang jiwaku didalam kuasanya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman sehingga kamu berkasih-sayang, apakah kamu mahu aku menunjukkan satu perkara yang boleh menimbulkan kasih sayang sesama kamu? Sebarkanlah salam sesama kamu." - Riwayat Muslim.

Bila lidah mampu menuturkan, hati turut sama menghayati, semakin kerap kita menyebutnya semakin besar perasaan kasih dalam hati kita.

Teringat pula cara guru-guru disini mengajar pelajaran bahasa Arab (saya berpeluang masuk ke kelas anak darjah satu dan melihat cara guru mengajar untuk membantu anak semasa dirumah). Setiap hari sebelum memulakan pengajaran guru akan menyebut dan mengajar murid-murid membaca "Uhibbu Lughati" (Saya Sukakan Bahasa Saya).

Itulah perkataan pertama yang murid-murid belajar, huruf yang digunakan, bagaimana mengeja dan menyebutnya. Semakin lama mengulang-ulang perkataan itu, murid-murid semakin menyukai pelajaran bahasa Arab. Itulah satu teknik berharga yang saya perolehi dari sekolah anak-anak saya. Alhamdulillah anak-anak saya semakin menyukai bahasa ini.

Bandingkan pula dengan menyebut perasaan "benci", semakin kerap kita menyebutnya makin kuatlah timbul perasaan benci kita kepada perkara tersebut. Itulah kesan penggunaan perkataan dalam hidup kita. Jadi pilihlah perkataan-perkataan yang bernilai positif sahaja agar nilai-nilai positif ini mampu hidup segar dalam diri kita.

Mampukah kita menghidupkan sunnah ini (meluahkan rasa kasih dan sayang) dalam masyarakat kita? Semakin berani kita meluahkan rasa sayang kita terhadap teman-teman dan keluarga semakin kuat ikatan ukhwah yang kita bina. Moga dari situ kita mampu tergolong ke dalam golongan yang berkasih-sayang kerana Allah swt, dan mampu berada di bawah arasy Allah diakhirat nanti.
Luahkan rasa Sayang Anda. Uhibbukunna Fillah.






Ulasan

Sayang,
Malangnya orang Melayu mempunya sifat cemburu yang sangat kental. Maka sebutan sayang menjadi sesuatu yang amat "eksklusif".

"Uhibbukunna Fillah"

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?