Sijil Menjadi Ibu

Alhamdulillah, saya merasa bertuah kerana telah dikurniakan sijil menjadi ibu, setelah berjaya menamatkan sijil sarjana saya. Walaupun tidak ada majlis konvokesyen rasmi tapi ia amat bererti bagi saya.

Pengalaman empat tahun berturut-turut menghadapi ujian ini memang mengajar saya pelbagai perkara yang tidak pernah saya fikirkan sebelum ini. Sememangnya kita hanya merancang tapi Allah telah menetapkan segala-galanya. Apakah kita mampu mengubah ketetapan itu?

Kemudian ditetapkan juga pelbagai ujian sampingan lain, yang agak berat bila difikirkan. Tapi jika dibandingkan dengan insan lain barulah terasa sedikit saja ujian yang dihadapi itu. Bersama-samanya disediakan anugerah lain yang tidak terbatas alhamdulillah.

Sijil menjadi ibu ini amat penting kerana ia dianugerahkan bersama-sama tanggungjawab yang amat berat untuk dilaksanakan. Apabila mendapat sijil ini maka bermulalah tanggungjawab yang tidak akan berakhir hingga akhir hayat kita. Tanggungjawab mendidik insan bukan seperti tugas-tugas lain yang biasa saya lakukan.

Mungkin saya tidak secergas orang lain dalam melaksanakan tugasan ini, namun saya sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk melaksanakannya sebaik mungkin.

Namun Allah Maha Penyayang, DIA lebih tahu kekuatan dan kelemahan saya, maka dianugerahkannya pelbagai nikmat yang tidak terhitung. Alhamdulillah.

Hanya pada-MU saja hamba-MU berserah. Hanya pada-MU saja hamba-MU memanjatkan kesyukuran.

Peringatan buat diri,

Lihatlah anugerah Allah kepadamu setelah semua ujian lalu berjaya dilepasi, kemudian bersyukurlah, Alhamdulillah.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas