Seronok Berada di Oman

Alhamdulillah semakin hari kami semakin seronok berada di Oman, maklumlah keadaan di sini yang agak tenang berbanding semasa berada di Kuala Lumpur dulu. Malah waktu kerja suami juga agak singkat iaitu dari 8 pagi hingga 1 tengahari, alhamdulillah. Jauh bezanya ketika berada di Kuala Lumpur keluar pagi bila nak maghrib baru sampai ke rumah semula. Waktu kerja sektor kerajaan di sini bermula 7.30 pagi hingga 2.30 petang.

Beberapa hari lepas saya terbaca satu tulisan dalam Berita harian Online yang bertajuk "Muscat Bandar Selamat". Terasa betul isi kandungan tulisan tersebut yang menceritakan tentang keadaan di Oman. Makin terasa sayangkan tempat ini walaupun bukan negara sendiri.

Saya terkejut bila membaca kriteria untuk menentukan keselamatan satu-satu tempat berdasarkan keadaan Duta US. Alamak betul ke? Dinyatakan bahawa di Muscat, Duta US boleh bersiar-siar ke sana sini tanpa pengawal pengiring seperti di tempat lain.

Bila dilihat kedutaan di sini kebanyakannya tidak berpengawal, termasuklah kedutaan Malaysia. Malah kedai-kedai emas pun tidak ada pengawal, alhamdulillah setakat ini belum pernah terdengar kejadian rompakan besar seperti di Malaysia.

Teringat pula Kedutaan US di Jalan Tun Razak, dilindungi dengan pagar tinggi, kemudian diletakkan dawai berduri di sekelilingnya. Malah kedutaan lain yang pernah saya kunjungi semuanya mempunyai pengawal keselamatan. Itulah keadaan di Malaysia, yang menyebabkan kita terasa takut dan bimbang setiap masa.

Sebenarnya bila keadaan sekeliling aman damai kita akan seronok untuk meneruskan kehidupan. Anak-anak juga dapat bergerak bebas ke mana-mana tanpa risaukan keselamatan mereka. Itulah yang diamalkan oleh anak-anak orang Oman. Anak-anak lelaki dan perempuan bebas berjalan ke mana-mana tanpa ada sesiapa menganggu.

Akan tetapi kami yang dah trauma dengan keadaan di Kuala Lumpur, masih belum mampu menerima keadaan ini untuk anak-anak. Kami seolah-olah tidak dapat menerima hakikat bahawa anak-anak selamat berada diluar rumah tanpa kawalan kami. Itulah hakikatnya...pengalaman berada di kawasan yang tidak selamat menyebabkan kita terlalu berhati-hati.

Sebenarnya di Malaysiapun sama ketika saya menempuh zaman kanak-kanak dulu. Kami bebas bergerak ke mana-mana saja, tiada siapa yang menganggu. Boleh berjalan-jalan atau berbasikal dengan kawan-kawan dengan tenang tanpa perlu memikirkan apa-apa ancaman. Begitulah bebasnya kanak-kanak bergerak dan berkawan tanpa perlu risau apa-apa.

Kesian pula kepada anak-anak sekarang kerana terpaksa menempuh keadaan tidak selamat. Mereka hanya terkurung di rumah menunggu ibubapa pulang dari kerja. Sayangnya mereka tidak sempat menikmati keseronokan alam kanak-kanak untuk berinteraksi dengan alam sekitar.

Teringat ketika kami akan pulang ke Malaysia pada cuti musim panas (Jun - Ogos) tahun lepas. Ada seorang kawan suami (Orang Oman) yang sedang belajar Phd di Kuala Lumpur mengingatkan kami agar berhati-hati dengan keselamatan anak-anak semasa di Kuala Lumpur. Saya tergelak dan mengatakan 'hei Orang Oman pulak yang ingatkan kita tentang negara sendiri'. Tapi itulah realitinya...

Bila dah balik, terasa betul juga peringatan beliau tu, kerana memang ada iklan khusus disiarkan dalam TV tentang keselamatan anak-anak. Dah la keadaan tidak berapa selamat, kemudian ada iklan pula tentangnya, makin takutlah ibubapa. Apa nak jadi?

Malah keadaan di Bandaraya Islam Kota Bharupun tidak jauh bezanya. Berita rompakan kedai pajak gadai adalah berita terakhir tentang tidak selamatnya keadaan di situ yang kami dengar sebelum berangkat ke Muscat semula.

Inilah kesan kurangnya pendidikan rohani dalam pendidikan anak-anak. Ditambah lagi masing-masing mengejar keuntungan dunia saja, maka inilah keadaan yang terpaksa kita hadapi. Apakah ada kemungkinan untuk kita kembali mengecapi ketenangan seperti yang pernah kita kecapi suatu ketika dulu? Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman