Kenangan Persahabatan

Bila mengenang kembali peristiwa yang dilalui sepanjang hidup ini, maka timbullah kembali cerita-cerita lama yang dilalui bersama-sama insan yang bernama SAHABAT. Sama ada dia seorang sahabat karib, atau sempat berkenalan sekejap sahaja, ia akan tetap hidup dalam memori orang memahami "apa itu sahabat?"

Bila kita baca sirah hidup Rasulullah SAW, kita akan bertemu cerita-cerita insan yang dinamakan "Sahabat Rasulullah", mereka yang pernah bertemu dengan baginda semasa hayat baginda, termasuklah sahabat yang menyampaikan ajaran baginda kepada generasi seterusnya. Mereka begitu ikhlas menyampaikan dakwah Islam serta meneruskan perjuangan baginda, sehingga ada yang sanggup berpindah ke tempat lain semata-mata kerana ingin meluaskan dakwah baginda. Begitulah hebatnya sahabat Rasulullah saw.

Menurut sejarah pada masa kewafatan Rasulullah saw, baginda mempunyai lebih daripada 100 ribu sahabat. Namun begitu, Rasulullah cuma mempunyai empat orang sahabat sejati, yang betul-betul akrab dengan baginda, dua orang bapa mertua dan dua orang menantu iaitu mertua ialah Saidina Abu Bakr Al-Siddiq dan Umar Al-Khattab, manakala menantu ialah Saidina Utsman Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib.

Jadi apakah yang ingin diajarkan kepada kita daripada sirah ini? Mengapa Rasulullah saw memilih untuk menjalinkan hubungan persahabatan yang erat dengan orang yang ada hubungan kekeluargaan dengan baginda? Hubungan mertua dan menantu telah ditunjukkan oleh Baginda semenjak dulu lagi, namun cara kita hari ini amat berbeza daripada apa yg ditunjukkan oleh Rasulullah.

Itulah kelebihan yang terdapat dalam ajaran Islam, kita diajar agar menjalinkan hubungan erat dengan orang yang ada hubungan kekeluargaan dengan kita. Merekalah sebaik-baik sahabat, kerana ia akan membantu menguatkan ikatan perkahwinan kita serta merapatkan hubungan kekeluargaan kita. Apakah kita telah melaksanakannya?

Sayangnya dalam masyarakat kita hari ini, ramai yang memilih untuk bersahabat dengan orang jauh, serta tidak mempunyai hubungan darah. Malah hubungan kerabat dibuat tidak endah, seolah-olah ia tidak memberi erti apa-apa kepada mereka. Itulah kesan globalisasi, kita mampu melihat jauh, terlupa apa yang ada didepan mata. Jadi terlupa jugalah sunnah Nabi kita.

Namun sahabat yang sentiasa ikhlas dalam persahabatan tanpa mengira sama ada saudara ataupun tidak, akan sentiasa kita ingati, walaupun berada jauh dimata.

Sekiranya nak dihitung betapa ramainya sahabat sepanjang hidup, sahabat sekampung, satu sekolah, satu universiti, satu tempat kerja dan yg terbaru sahabat dunia maya, internet. Dimanakah kesemua mereka kini?? Apakah masih terus berhubung atau dah terputus terus tanpa berita?

Walaupun di mana sahabat berada, jangan lupa persahabatan sejati akan dirahmati Allah, malah Allah menjanjikan tempat berlindung di bawah ArasyNya di akhirat nanti, bagi mereka yg bertemu dan berpisah keranaNYA.

Jadi sentiasalah doakan kesejahteraan sahabat kita didunia dan akhirat walaupun kita dilupai oleh mereka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman