Apa ada pada Sijil?

Manusia hari ini berlumba-lumba untuk memiliki pelbagai sijil yang dianggap tiket untuk menempa kejayaan. Ada sijil akademik, sijil kemahiran, sijil kursus serta pelbagai lagi sijil.

Teringat kisah lama dimana setiap pelajar akan sibuk mengumpulkan sijil, terutama ketika ingin mengisi borang permohonan untuk sambung belajar. Ketika itu kita akan terasa hebatnya kawan-kawan yang memiliki banyak sijil serta memiliki pencapaian yang baik. Masa itu sijil menjadi begitu berharga.

Jadi bila berada di universiti ramai pelajar yang berusaha mengumpulkan pebagai sijil, dengan anggapan dapat membantu mereka ketika tamat pengajian nanti. Malah ada pelajar yang sanggup ponteng kelas semata-mata membuat persediaan untuk program yang akan menjanjikan sijil kepada mereka. Itulah harga sijil...

Jadi dimana-mana saja orang akan bercerita tentang kehebatan sijil, tanpa menyedari apa yang ada disebalik semua sijil-sijil tersebut. Sebenarnya ada pelbagai kisah suka-duka sepanjang pencarian sijil-sijil tersebut. Kadang-kadang ia menjadi kertas yang menyimpan sejumlah kenangan yang akan diingati kembali bila melihat kertas itu.

Jadi apa yang ada pada sijil terutama sijil-sijil akademik? Apakah ia membantu seeorang untuk mencapai impian mereka?

Teringat pula kata-kata seorang penceramah "Phd is a victim of circumstances", betul ke begitu? Jika betul mengapa ramai orang berlumba-lumba untuk memilikinya, apakah mereka ini cuma menjadi mangsa keadaan ataupun sebaliknya.

Bagi saya Phd ialah sebahagian proses mencari diri, kerana ketika itu kita akan mengalami pelbagai ujian, yang tidak mampu dijelaskan oleh orang lain. Setiap orang mengalami pengalaman yang berbeza, yang hanya boleh ditafsirkan oleh tuan empunya diri.

Kadang-kadang diri sendiri dah baik, terkena masalah dengan supervisor. Maka terjadilah episod tulis itu tak kena, tulis ini tak betul, serta pelbagai lagi komen. Bila pelajar dan supevisor dah elok, terkena pula masalah pengurusan, tersangkut sana, tersangkut sini...bahkan macam-macam kerenah birokrasi universiti. Itu yang menyebabkan ada orang kata phd itu "permanent head damage".

Apa-apapun kita yang memilih jalan itu, sekiranya kita menjadikannya sebagai satu jalan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah, maka ia akan memberi kemanisan kepada kita walau betapa kuat ujian yang terpaksa kita lalui.

Namun begitu masyarakat hari ini begitu memandang tinggi kepada sijil. Jadi nak tak nak kita mestilah berusaha untuk memiliki sijil tersebut. Bak kata kawan: "dapatkanlah sijil tu dulu agar kata-kata kita didengari orang".

Bagi saya semuanya bergantung kepada orang yang kita temui, sekiranya mereka ikhlas ingin mencari ilmu mereka akan sanggup belajar walaupun dari orang yang tidak memiliki sijil yang tinggi. Tapi sepanjang pengalaman bergaul dengan manusia zaman sekarang, terasa betulnya kata-kata kawan tadi.

Namun kadang-kadang kita akan sampai ke suatu peringkat dimana orang akan menganggap orang yang belajar tinggi ingin menunjuk-nunjuk, ingin tunjuk pandai serta pelbagai lagi. Ketika itulah kita akan terasa buat apalah bersusah-payah mengejar sijil. Namun itulah ketentuan Allah hasil pilihan kita.

Tahukah mereka apa yang ada dalam hati orang yang belajar itu? Apakah mereka sengaja berkata sedemikian, ataupun mereka ikhlas memberitahu? Ini kerana tidak salah berijtihad menggunakan pemikiran kita, kerana ia lebih baik daripada taklid buta.

Bagi yang menempuhi keadaan itu, bertenang, bersabar, ikhlas dan redha selalu kerana itulah kunci untuk menghadapi keadaan itu. Moga Allah memberi kekuatan kepada insan yang masih bertungkus-lumus mengejar sijil...Selamat Maju Jaya
.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas