Dari Mana Datangnya Motivasi Diri?

Motivasi diri adalah amat penting dalam diri setiap insan. Orang yang tidak bermotivasi adalah orang yang tidak bersemangat untuk menjalani kehidupan seharian mereka. Setiap pagi berlalu, petang berakhir tanpa ada peningkatan diri. Kehidupan seharian dijalani tanpa apa-apa perubahan, cuma mengulang-ulang tugasan seharian sahaja.

Begitu juga para surirumah. Bagi surirumah yang bermotivasi tinggi, mereka mampu melaksanakan pelbagai tugasan dengan mudah dan tenang. Walaupun begitu banyak urusan di rumah dengan anak-anak, mereka masih mampu menyumbang tenaga untuk masyarakat mereka. Itulah kelebihan memiliki motivasi yang kuat.

Persoalannya dari manakah datangnya motivasi ini? Apakah ia datang dengan sendiri ataupun perlukan orang-orang tertentu untuk memotivasi mereka? Ataupun mereka perlu menghabiskan ratusan ringgit untuk mengikuti kursus-kursus motivasi tertentu?

Orang-orang dulu termotivasi sendiri tanpa perlu mengeluarkan apa-apa bayaran. Mereka mampu berjaya walaupun melalui pelbagai kesusahan hidup. Semakin susah hidup, mereka makin bersemangat untuk mengubah kehidupan mereka. Itulah motivasi yang paling hebat untuk setiap insan.

Tidak dinafikan anak orang-orang susah amat mudah untuk dimotivasikan, anak-anak mereka begitu senang dinasihati tanpa perlu mengeluarkan bayaran besar. Masalahnya berapa ramaikah orang-orang yang sudah berjaya sanggup menghabiskan masa membantu orang-orang sebegini.

Dalam situasi hari ini, tidak ramai yang sanggup melakukan kerja-kerja murni ini. Hatta pelajar-pelajar universiti yang begitu bersemangat memotivasi pelajar-pelajar sekolah ketika mengikuti program-program universiti, jarang yang meneruskan usaha ini secara percuma setelah tamat belajar.

Masing-masing mula berusaha untuk mencapai impian sendiri, rumah besar, kereta besar serta pelbagai lagi impian didunia ini. Tugas ini tidak mampu dilaksanakan dengan percuma. Sekiranya mereka meneruskannya, wujudlah kem-kem yang mengenakan bayaran yang tinggi, sebagai harga motivasi yang disediakan oleh mereka.

Sebenarnya insan yang betul-betul melaksanakan tugasan ini ialah para guru-guru disekolah. Merekalah insan hebat yang melaksanakan tugasan ini setiap hari tanpa jemu. Walaupun orang lain mungkin menganggap guru-guru bukan insan profesional, tapi sebenarnya guru-gurulah insan yang paling ikhlas menabur bakti mendidik anak bangsa, tidak kira miskin atau kaya.

Sebab itulah kita melihat senario anak-anak guru mampu berjaya dalam hidup mereka. Mengapa begitu? Itulah keadilan Allah swt, dalam keikhlasan mereka membantu anak-anak orang lain, Allah swt memudahkan perjalanan hidup anak-anak mereka.

Persoalan lain ialah mengapakah insan hari ini sanggup mengeluarkan ratusan hingga ribuan ringgit untuk mengikuti program-program motivasi? Apakah mereka tidak mampu memotivasi diri sendiri? Sedangkan duit tersebut sekiranya disedekahkan untuk membantu anak-anak yatim dan miskin adalah lebih bermakna bagi memotivasi diri mereka.

Bayangkan anak-anak miskin ini menerima sepuluh ringgit dah begitu besar nilainya, apatah lagi sekiranya berjumlah RM950. Sebagai contoh satu motivasi untuk menguatkan spiritual, emosi dan intelek yang begitu hebat diperkatakan disana sini. Peserta mungkin menangis mengingatkan kealpaan diri, serta berniat untuk berubah ke arah kebaikan. Begitu kuat perasaan kesedaran yang timbul, ingin berubah.

Tetapi sekiranya duit tersebut digunakan untuk membantu insan-insan miskin lain, bukan sahaja mereka mampu menitiskan air mata melihat kedaifan insan-insan ini, malah mereka dah mula melakukan perubahan dengan duit sejumlah itu. Lihatlah kesusahan orang lain, jadikanlah ia satu cara kita memotivasi diri sendiri. Bantulah mereka ketika kita masih berupa menolong mereka.

Manakala setengah insan lain memerlukan orang lain memotivasi diri mereka, terutama dorongan ahli keluarga mereka. Yang mana dengan dorongan ini mereka mampu mencipta kejayaan dalam setiap urusan hidup mereka.

Walau dari manapun datangnya motivasi diri anda, berusahalah untuk meningkatkan diri sambil menyumbang bakti kepada masyarakat sekeliling anda. Ingatlah semakin banyak kita memberi, makin besar balasan yang disediakan oleh Allah swt kepada kita. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Naa..a berkata…
ye za, kat sekolah selalu lah motivasi budak. Bukan apa kita dah menganggap mereka anak-anak kita. Sekiranya kita lakukan dengan ikhlas insyaallah sampai ke hati murid. Mengikut pemerhatian dan pengalaman nah la. apa2 yang di buat sekiranya dengan ikhlas dan sepenuh hati.pelajar yang kita kasihi akan berjaya.insyallah. keberkatanlah. Cuba elak diri dari terdetik membenci pelajar, jgn sekali-kali.Dalam profesyen perguruan ini kena banyak membaiki diri dan membina dalaman yang tulus.Insyaallah za, nah akan cuba memberi yang terbaik buat murid2. Setiap hari kena tanam pelbagai sifat yang positif,walaupun lambat kena sabar. Itulah pembentukan modal insan tak sama dengan pengeluaran kereta atau pembina bangunan boleh tentu bila jadinya.. emm termakasih.
Aliza berkata…
Terima kasih cikgu,

Cikgu dah semakin hebat, teruskan usaha memotivasi diri dan anak-anak murid.

Keikhlasan adalah segala-galanya.
All the best.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas